Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya perkukuh Integriti sistem keadilan

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan terhadap kerajaan bagi mempercepatkan pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

PEMISAHAN kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukanlah wacana baharu, namun ia kembali menjadi tumpuan dalam kerangka reformasi institusi.

Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin bahawa pengasingan itu mampu menghapuskan tradisi konflik kepentingan yang berakar sekian lama, memperlihatkan satu tuntutan jelas masyarakat sivil ke arah memperkukuh integriti sistem keadilan negara.

Iklan
Iklan

Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh diibaratkan bergerak sebagai satu entiti seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 145(2) dan (3).

Gabungan peranan itu sering menimbulkan persoalan, khususnya apabila kes melibatkan tokoh politik atau kepentingan kerajaan, persepsi wujudnya pendakwaan terpilih yang boleh menjejaskan keyakinan awam.

Iklan

Dalam sistem demokrasi matang, persepsi sama penting dengan realiti. Keyakinan terhadap keadilan bukan sekadar bergantung kepada keputusan mahkamah, tetapi juga kebebasan institusi yang membawa kes ke muka pengadilan.

Justeru itu, asas hujah pengasingan kuasa menjadi signifikan bagi memisahkan fungsi penasihat kerajaan daripada kuasa mendakwa, sekali gus meminimumkan konflik kepentingan.

Iklan

Cadangan supaya Pendakwa Raya diberikan kuasa autonomi melalui Akta Pemboleh (Enabling Act) yang menetapkan kod etika serta garis panduan jelas merupakan pendekatan seimbang.

Kebebasan mutlak tanpa mekanisme semak dan imbang juga berpotensi menimbulkan penyalahgunaan kuasa.

Syor tempoh perkhidmatan tetap tujuh tahun tanpa lanjutan mencerminkan usaha mengelakkan kebergantungan kepada kuasa eksekutif untuk pembaharuan kontrak.

Pada masa sama, mekanisme penyingkiran melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan dan kelulusan Yang di-Pertuan Agong memperlihatkan satu struktur yang cuba meniru prinsip keselamatan jawatan seperti hakim.

Pemisahan kuasa itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen.

Dalam landskap politik yang sering berubah dan berpecah, mendapatkan konsensus bukan perkara mudah tambahan pula akan wujud kebimbangan dalam kalangan pihak tertentu bahawa autonomi pendakwaan boleh membuka ruang pendakwaan dari sudut berbeza.

Justeru itu, perbincangan dan libat urus menyeluruh dengan badan guaman, akademik serta masyarakat sivil amat penting, reformasi itu dilihat sebagai agenda partisan, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang terhadap kestabilan negara.

Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah langkah berani ke arah memperkukuh integriti sistem keadilan, berpotensi meningkatkan keyakinan rakyat dan mengangkat standard demokrasi Malaysia ke tahap lebih matang.

Membina kepercayaan memerlukan konsistensi dan keberanian mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa kompromi.