SETIAP manusia dilahirkan dengan jati diri yang jelas, namun ada ketika sebahagian daripada kita tersasar hingga menukar nama dan penampilan yang tidak lagi mencerminkan asal-usul diri.
Seorang lelaki menggunakan nama wanita bukan sekadar tajuk berita, tetapi cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat hari ini.
Begitulah kisah seorang jurujual lelaki yang kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan berpakaian serta berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah di Terengganu.
Tertuduh, Mohd Lukman Mohamad Aluddin, 33, yang juga dikenali sebagai 'Miera Martoza', membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Hamidi Shafie pada Selasa.
Kes Mohd Lukman yang didakwa berpakaian wanita dan menggunakan identiti Miera Martoza, sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai fenomena lelaki menukar identiti kepada wanita secara terbuka.
Apabila Mohd Lukman menjadi Miera Martoza, ia bukan sekadar pertukaran nama, tetapi menggambarkan realiti yang terus ketara dan berani dipamerkan.
Fenomena ini bukan lagi kes terpencil, malah ada yang menukar nama dan menggunakan identiti wanita dalam kehidupan seharian tanpa rasa segan.
Kira-kira sedekad lalu, penulis bersama rakan media pernah mengikuti satu operasi dan berpeluang menemubual seorang bekas mat rempit yang berubah penampilan serta memperkenalkan dirinya sebagai 'Tasha'.
Perkongsian Tasha membuka mata bahawa perubahan sedemikian sering bermula dengan rasa ingin mencuba, sebelum terpengaruh dan turut mengubah penampilan diri dengan berpakaian dan berperwatakan wanita.
Menurut Tasha ketika itu, semuanya bermula dengan mencuba pakaian wanita yang diberikan rakan, sebelum beralih kepada pengambilan hormon bagi menyerlahkan ciri kewanitaan.
Kisah itu berlaku lebih 10 tahun lalu, namun kes Miera Martoza menunjukkan isu lelaki berpakaian wanita masih berlarutan dengan masih ada yang tidak malu berbuat demikian walaupun menyedari sensitiviti masyarakat serta batas agama dan undang-undang.
Dalam era media sosial, perubahan identiti itu mudah dipamerkan dan lama-kelamaan dikhuatiri ia dianggap perkara biasa oleh segelintir pihak.
Apabila lelaki menggunakan nama wanita dan berpakaian seperti wanita khususnya di ruang awam, ia menimbulkan kegusaran dan polemik yang tidak berkesudahan.
Bagaimanapun, tindakan undang-undang juga menunjukkan pihak berkuasa tidak berdiam diri.
Pendakwaan terhadap kes lelaki berpakaian wanita memberi peringatan bahawa setiap individu bertanggungjawab menjaga adab, penampilan dan identiti selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
Justeru, apabila kes dibawa ke mahkamah, ia menjadi isyarat bahawa terdapat garis sempadan yang perlu dihormati oleh semua pihak, malah perbuatan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Perubahan identiti mungkin dilihat sebagai pilihan peribadi oleh sesetengah pihak, namun apabila ia melibatkan ruang awam dan peruntukan undang-undang, setiap tindakan mempunyai implikasi.
Justeru, langkah kembali ke pangkal jalan dan menghormati batas yang ditetapkan adalah lebih baik bagi mengelakkan kesan negatif kepada diri sendiri dan masyarakat.
Setiap insan berpeluang untuk berubah dan memperbetulkan diri kerana keinsafan tidak datang dengan paksaan, tetapi melalui kesedaran bahawa jati diri yang sebenar adalah amanah yang perlu dipelihara.
Kisah-kisah seumpama ini seharusnya menjadi peringatan agar kita tidak tersasar terlalu jauh, dan sentiasa kembali kepada fitrah yang telah ditentukan.