ISU beg sekolah berat bukan lagi cerita baharu, sebaliknya menjadi rungutan ibu bapa saban tahun.
Setiap pagi, pemandangan murid melangkah perlahan dengan beg hampir menyamai saiz tubuh sendiri seakan sudah menjadi kebiasaan.
Ada yang terpaksa memikul beban mencecah hampir lapan kilogram (kg), sedangkan berat badan mereka jauh lebih kecil dan fizikal masih dalam fasa pembesaran.
Persoalannya, wajarkah bahu kecil ini memikul beban sebesar itu setiap hari?
Disebabkan itu, pakar perunding ortopedik menyarankan berat beg sekolah sepatutnya tidak melebihi 10 hingga 15 peratus daripada berat badan seorang murid.
Bagaimanapun, realiti berat badan pelajar sekitar 30kg, maka mereka haruslah membawa beg sekolah sekitar tiga hingga empat kilogram sahaja.
Lebih menyayat hati apabila sesi persekolahan 2026 mendapat perhatian serius daripada warga maya yang meluahkan rasa kesian terhadap anak masing-masing.
Manakan tidak, setiap hari murid perlu membawa beberapa buku teks, buku latihan, buku kerja tambahan, fail, alat tulis, bekal makanan dan botol air disumbat sekali gus dalam satu beg.
Padahal pada malam sebelum hari persekolahan, ibu bapalah yang akan memastikan anak-anak menyiapkan tugasan, periksa jadual kelas dan menyusun buku-buku dalam beg.
Apabila ada pihak menyuarakan pandangan anak-anak ini tidak menyusun buku mengikut jadual pembelajaran, maka timbullah lagi tanda tanya bahawa adakah setiap bahan bacaan itu diguna pakai?
Jadual padat dengan pelbagai subjek menyebabkan murid terpaksa membawa semua buku bagi mengelakkan tertinggal sekali gus dimarahi guru-guru.
Ada sekolah menyediakan loker dalam kelas sebagai alternatif agar murid-murid boleh meninggalkan buku di sekolah.
Tetapi tidak semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mampu sediakan kemudahan ini.
Sekolah yang ada dua sesi pembelajaran dan mempunyai jumlah murid yang ramai tidak sesuai untuk penyediaan lokar kerana kos yang tinggi dan ruang sempit.
Jadi kesan kepada masalah beg berat ini kepada murid ialah mereka akan mengalami masalah sakit belakang, bahu, leher dan murid juga berisiko mengalami masalah postur badan, tulang belakang membongkok serta mengalami keletihan melampau.
Inisiatif baharu
Baru-baru ini dilaporkan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan melaksanakan pembelajaran berasaskan digital sebagai penyelesaian untuk mengatasi isu beg sekolah berat dalam kalangan murid.
Sebanyak 2,500 tablet iPad dibekalkan kepada murid tahun empat,lima dan enam di empat SRBJ dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, selain fasiliti serba moden termasuk penggunaan papan pintar di setiap kelas.
Kurikulum Baharu 2027
Selain itu, Kementerian Pendidikan juga telah mengumumkan untuk memulakan Kurikulum Baharu 2027.
Difahamkan ada subjek dalam Pembelajaran Bersepadu tidak memerlukan buku teks.
Ini memungkinkan penggunaan buku teks akan dikurangkan dan kita tunggu pengumuman lebih lanjut daripada Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini.
Semoga masalah beg berat yang dialami murid akan dapat diselesaikan sepenuhnya.
*Qurratul Aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari