"DIVIDEN KWSP telah dikreditkan ke Akaun Fleksibel'. Contoh...Pasti ramai yang akan tersenyum apabila dividen KWSP telah dikreditkan ke Akaun Fleksibel.
Ada yang terus buat kira-kira nak bayar hutang kad kredit, nak baiki kereta, nak belanja anak-anak dan keluarga bercuti, boleh juga reward diri untuk pergi 'healing' selepas melalui hari-hari yang berat disebabkan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Ramai berpegang pada logik mudah iaitu duit kita milik kita, kenapa tak boleh guna? Sebab itu juga idea dan desakan supaya semua dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dimasukkan ke Akaun 3 atau Akaun Fleksibel kedengaran sangat sedap.
Lebih-lebih lagi kepada rakyat kebanyakan yang hidup dengan gaji ke gaji seterusnya, saban bulan mengira baki akaun, yang melalui rasa 'cukup-cukup makan'.
Hakikatnya, mungkin ramai mula lupa KWSP tidak diwujudkan untuk hari ini. Tetapi ia dicipta sebagai sokongan dana untuk hari yang kita tidak lagi mampu bekerja.
Tekanan hidup hari ini membuatkan ramai sanggup gadai hari esok. Bukan kerana tamak, tetapi kerana terdesak.
Kewujudan Akaun Fleksibel sendiri sudah banyak membantu ketika terdesak. Bahkan, ada yang tidak lagi berfungsi sebagai dana kecemasan, tetapi termasuk perbelanjaan harian.
Sedikit demi sedikit kelonggaran yang diwujudkan membuatkan KWSP hilang fungsi. Ramai terpesona dengan dana cair yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
Kini, dana daripada dividen pula yang diharapkan. Tidak dinafikan memasukkan semua dividen ke Akaun Fleksibel memberi kelegaan segera.
Tapi, realitinya dividen yang dikeluarkan hari ini bukan tentang wang yang hilang, tetapi juga dividen kepada dividen yang sepatutnya terhasil 10, 20, 30 tahun akan datang.
Masalahnya, kesan itu tidak akan dirasai sekarang. Ia hanya timbul apabila usia meningkat, tenaga berkurang dan peluang menjana pendapatan semakin sempit.
Lebih membimbangkan, jika struktur agihan dividen dilambakkan ke Akaun Fleksibel, ia boleh mencipta satu budaya baharu apabila ramai pencarum melihat dividen KWSP sebagai bonus tahunan untuk dibelanjakan, bukan sebagai pelindung hari tua.
Apabila itu berlaku, KWSP tidak lagi berfungsi sebagai benteng, tetapi sekadar transit wang masuk dan keluar.
Impaknya bukan kecil kerana golongan berpendapatan rendah yang paling memerlukan wang cair akan menjadi kumpulan paling terkesan.
Mereka akan cenderung mengeluarkan dividen, manakala golongan berpendapatan tinggi mampu membiarkannya terkumpul atau menggunakan untuk tujuan pelaburan lain yang menguntungkan.
Akhirnya, jurang simpanan persaraan semakin melebar yang lemah makin rapuh, yang kukuh makin stabil.
Bayangkan, jika simpanan persaraan tidak mencukupi, siapa yang akan menanggung kos kehidupan warga emas kelak? Jawapan yang hampir pasti adalah negara.
Bantuan sosial, subsidi dan perbelanjaan fiskal akan meningkat bukan kerana rakyat tidak bekerja, tetapi kerana sistem simpanan dilemahkan sedikit demi sedikit atas nama fleksibiliti.
Meskipun begitu, penulis tetap berpandangan tidak bermakna suara rakyat harus diketepikan. Tekanan kos hidup adalah nyata, bukannya persepsi. Namun, fleksibiliti tanpa had dan kawalan bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Kerajaan boleh ambil jalan tengah dengan membenarkan sebahagian sahaja dividen yang boleh diagihkan ke Akaun Fleksibel, iaitu lebih daripada struktur agihan asal atau pengeluaran dibuat secara pilihan, bukan automatik.
Namun, sekiranya kerajaan membenarkan ia berlaku. Tidak mustahil wujud desakan-desakan akan datang yang mahu terus 'menikmati' dividen KWSP sebagai dana cair.
*Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian