TINDAKAN pantas pihak polis menghentikan cubaan penganjuran himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di ibu negara baru-baru ini dilihat sebagai langkah tepat bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara, khususnya apabila melibatkan isu sensitif berkaitan agama dan kaum.
Amaran tegas pihak berkuasa supaya mana-mana pihak tidak meneruskan perhimpunan yang menyentuh isu sensitif bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, sebaliknya mesej jelas bahawa Malaysia tidak boleh menjadi medan kepada gerakan yang berpotensi mencetuskan ketegangan sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan keputusan melarang penganjuran himpunan dibuat selepas pertimbangan menyeluruh termasuk risikan keselamatan semasa, selain mengambil kira kestabilan negara khususnya ketika Malaysia menerima tetamu negara.
Penulis berpandangan, pendekatan pencegahan awal wajar disokong kerana sejarah negara telah membuktikan kegagalan mengawal sentimen perkauman dan keagamaan pada peringkat awal boleh membawa implikasi besar kepada kestabilan negara.
Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 menjadi pengajaran paling besar apabila ketegangan kaum yang tidak dikawal akhirnya mencetuskan tragedi berdarah dan memberi kesan mendalam kepada landskap politik serta sosial negara.
Dalam era digital hari ini, risiko konflik menjadi lebih kompleks kerana penyebaran sentimen kebencian boleh berlaku dalam tempoh singkat melalui media sosial.
Atas sebab itu, tindakan pencegahan awal perlu dilihat sebagai benteng keselamatan sosial negara, bukannya sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Pada masa sama, penyelesaian isu agama perlu kembali kepada acuan Islam sebenar berlandaskan keadilan, hikmah, kesederhanaan dan rahmah.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh jelas bagaimana isu sensitif ditangani secara bijaksana termasuk dalam hubungan dengan masyarakat bukan Islam.
Pendekatan itu dapat dilihat melalui pembentukan Piagam Madinah selepas penghijrahan baginda ke Madinah, yang menjadi asas kepada kehidupan harmoni masyarakat pelbagai agama dan kaum ketika itu.
Ketika zaman itu, Madinah dihuni masyarakat Islam, Yahudi dan beberapa kabilah Arab yang berbeza pegangan kepercayaan. Rasulullah SAW membentuk satu perjanjian sosial yang menjamin hak kebebasan beragama, keselamatan dan tanggungjawab bersama mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.
Selain itu, terdapat juga peristiwa ketika rombongan Kristian dari Najran datang berdialog dengan Rasulullah SAW di Madinah.
Baginda menerima mereka dengan baik dan memberi ruang untuk mereka menunaikan ibadat mengikut kepercayaan mereka.
Peristiwa itu menunjukkan pendekatan Islam yang mengutamakan dialog, toleransi dan jaminan keadilan kepada semua pihak.
Pendekatan Islam sebenar jelas menolak ekstremisme, provokasi dan tindakan yang boleh memecah-belah kan masyarakat, selari dengan realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
Kerajaan khususnya Kementerian Perpaduan perlu terus memperkukuh usaha membina kefahaman masyarakat terhadap realiti hidup berbilang agama.
Usaha perpaduan tidak boleh bersifat reaktif hanya apabila krisis berlaku, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendidikan, program komuniti, platform digital dan kerjasama rapat dengan pemimpin agama dan masyarakat.
Literasi maklumat juga perlu diperkasa bagi memastikan masyarakat tidak mudah dipengaruhi propaganda atau naratif kebencian.
* Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki ialah wartawan Sinar Harian