SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.
Menurut firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad yang mewakili Azam, semua saluran undang-undang akan digunakan terhadap laporan berkenaan yang telah diulangi siar dan diterbitkan semula oleh media lain, hingga mengakibatkan penyebaran meluas dakwaan berkenaan.
Menurut firma itu, laporan dan sindiran dalam artikel berkenaan bersifat libel, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Justeru, pihak Azam menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan yang didakwa menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional beliau.
"Azam tidak melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berhubung perkara yang dilaporkan.
“Pada setiap masa, beliau mematuhi sepenuhnya semua kewajipan deklarasi aset yang terpakai ke atas penjawat awam.
"Sebarang perolehan dan seterusnya pelupusan saham berkenaan telah diisytiharkan sewajarnya menerusi saluran rasmi ditetapkan, termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), sejajar keperluan jabatan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut firma itu, saham yang dirujuk dalam laporan berita berkenaan telah dilupuskan sebelum penerbitan dan ia boleh disahkan menerusi deklarasi serta rekod dokumen sedia ada.
Sementara itu, salah seorang peguam daripada firma tersebut, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie memaklumkan, surat tuntutan telah dihantar ke ibu pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai surat tersebut.
Pada Rabu, Azam menjelaskan bahawa beliau tidak lagi memiliki sebarang saham di mana-mana syarikat dan semua urus niaga saham sebelum ini dijalankan dengan telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan, sambil menambah bahawa akaun dagangannya kini kosong dan boleh disahkan dengan Bursa Malaysia.