TANJUNG MALIM – Kegembiraan tiga sahabat berkelah di sungai berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Taman Teratak, Ulu Bernam di sini pada Khamis.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Afiq Aizat Muhd Shukri, 23, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dihanyutkan arus deras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim pada jam 6.57 petang.
"Berdasarkan maklumat awal daripada orang awam, terdapat tiga lelaki dihanyutkan arus ketika melakukan aktiviti perkelahan di sungai tersebut.
"Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dihanyutkan arus dan dilaporkan lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa dikeluarkan dari sungai dengan bantuan orang awam namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, anggota kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM yang berada di lokasi kejadian," katanya.
Operasi disertai 10 anggota itu terkawal pada jam 7.27 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.12 malam.