TEMERLO - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu peribadi dan pelajar maahad tahfiz menjadi individu pertama di Pahang dijatuhi hukuman mengikut undang-undang baharu antipembuangan sampah di Mahkamah Sesyen Temerloh di sini pada Khamis.
Ahmad Marzuki Shafie, 45, dan Muhammad Adli Ramadhan Anwar, 26, masing-masing didenda RM600 dan RM300 selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam pada 1 Januari lalu.
Hakim Jamaludin Mat turut menetapkan hukuman penjara sebulan terhadap kedua-duanya sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan mereka menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan, bersamaan satu jam sehari, selaras Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mengikut pertuduhan, Ahmad Marzuki didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan di Jalan Esplanade Temerloh, Jalan Semantan 1, pada jam 4.20 petang.
Dalam prosiding berasingan, Muhammad Adli Ramadhan yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, didakwa melakukan kesalahan sama di siar kaki Esplanade Temerloh pada jam 4.45 petang, tarikh sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta 672 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 77A(2), serta tambahan perintah khidmat masyarakat mengikut Seksyen 77B(1) akta sama.
Ahmad Marzuki yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan berpendapatan RM1,900 sebulan serta mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan pada 2007 dan 2015.
Muhammad Adli Ramadhan pula merayu agar denda dikurangkan kerana masih menuntut dan berkhidmat di sebuah maahad tahfiz di Shah Alam, Selangor.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd Arif dan Muhammad Fadli Syam Ramli.
Kedua-dua tertuduh telah menjelaskan denda masing-masing dan dijangka melaksanakan perintah khidmat masyarakat di sekitar Temerloh bermula esok.