KAJANG - Seorang jiran mendakwa anak bongsu kepada keluarga yang terlibat dalam kes tiga kanak-kanak dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone, sering bermain dengan anaknya di kaki lima hadapan rumah di sini.
Jiran yang enggan dikenali itu berkata, kanak-kanak bongsu mangsa tidak menunjukkan sebarang tingkah laku mencurigakan sebelum kejadian.
“Anak mangsa yang bongsu selalu main dengan anak saya di kaki lima depan rumah.
“Boleh dikatakan hampir setiap petang dia bermain dengan anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah flat di Sungai Ramal Baru di sini.
Menurutnya, dia turut difahamkan bahawa kanak-kanak dalam keluarga berkenaan dikatakan kurang sihat.
“Setakat yang saya tahu, saya tak pernah dengar atau nampak ibu bapa mereka bergaduh. Anak-anak mereka pun selalu datang ke sini, jadi kami memang perasan pergerakan harian mereka,” katanya.
Pada Rabu, media melaporkan, polis menahan ibu bapa tiga kanak-kanak itu bagi membantu siasatan selepas seorang daripada kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin berhubung tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan kira-kira jam 9.01 pagi Rabu.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 11 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Manakala, dua lagi mangsa masing-masing berusia sekitar 10 dan lima tahun menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Susulan kejadian itu, Shazeli berkata, polis telah menahan ibu dan bapa mangsa berusia lingkungan 35 dan 44 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.