[VIDEO] NGO desak SPRM siasat bekas menteri libatkan dana RM1.1 bilion

Iklan

PUTRAJAYA- Tiga badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bekas menteri berkaitan perjanjian Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing membabitkan dana sehingga hampir RM1.1 bilion.

Syed Hasan (kanan) ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Khamis.

Iklan
Iklan

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, laporan rasmi dibuat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) di ibu pejabat SPRM pada Khamis bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Menurutnya, laporan itu dibuat susulan aduan serta persoalan yang diterima daripada orang ramai berhubung satu perjanjian kerajaan dengan syarikat luar negara.

Iklan

“Cuma saya ingin katakan kami telah menerima banyak aduan dan juga persoalan daripada masyarakat ingin bertanya tentang satu perjanjian Kerajaan Malaysia dengan satu syarikat luar yang membabitkan sehingga hampir RM1.1 bilion yang dilakukan awal tahun lepas,” katanya kepada pemberita selesai membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana terikat dengan akuan janji kerahsiaan.

Iklan

Syed Hasan menjelaskan, perjanjian tersebut didakwa dimeterai sekitar Mac tahun lalu dan kini menimbulkan tanda tanya berhubung status pelaksanaannya.

“Persoalan sekarang tidak tahu ke arah mana perjanjian tersebut ataupun projek tersebut.

"Ia membabitkan seorang bekas menteri. Itu saja yang boleh saya sebut.

“Saya harap pihak SPRM akan menyiasat sama ada ada salah laku, salah guna kuasa dan juga ia membabitkan seorang bekas pegawai yang berkhidmat dengan syarikat ini pula,” katanya.

Menurutnya, antara persoalan utama yang dibangkitkan sama ada bayaran telah dibuat sepenuhnya atau sebahagian serta tujuan sebenar pembayaran tersebut.

Beliau turut meminta SPRM meneliti aliran wang kerajaan bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

Beliau turut mendakwa kementerian terlibat merupakan kementerian penting yang mempunyai kepentingan besar kepada negara serta ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berharap siasatan dapat dijalankan secara telus demi memastikan dana awam diuruskan dengan penuh integriti serta memelihara kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.