SHAH ALAM - Gabungan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli mengemukakan tiga tuntutan susulan penahanan masyarakat Orang Asli Jakun di Pahang yang didakwa menceroboh tanah milik Sultan Pahang di Kampung Jemeri pada Isnin lalu.
Dalam satu kenyataan bersama, gabungan berkenaan menuntut menghentikan serta-merta pencerobohan ke atas tanah adat Orang Asli dan mengiktiraf serta melindungi hak tanah adat Orang Asli selaras dengan undang-undang, keputusan mahkamah serta standard hak asasi manusia antarabangsa dan melaksanakan tanggungjawab melindungi serta bukannya menindas Masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, selain itu mereka menuntut agar siasatan bebas dan telus dilakukan terhadap tindakan penguatkuasaan serta kenyataan awam yang dibuat berhubung kejadian tersebut.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan penangkapan berkenaan. Tindakan ini adalah keterlaluan, tidak berperikemanusiaan dan jelas telah melebihi batas, khususnya apabila masyarakat yang mempertahankan hak mereka sendiri diperlakukan sebagai penjenayah.
"Tanah yang dipertahankan oleh masyarakat Orang Asli Jakun bukanlah tanah kosong malahan komuniti ini juga memiliki peta komuniti yang merangkumi kawasan mereka dan telah lama diduduki, diusahakan dan menjadi sumber kehidupan mereka secara turun-temurun.
"Kami juga kecewa dengan kenyataan bahawa tanah itu telah dipindah milik kepada pihak tertentu tanpa pengetahuan masyarakat Orang Asli setempat selain Orang Asli pula dianggap penceroboh dan pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah mengambil tanah dan hasil komuniti ini sewenang-wenangnya," katanya pada Khamis.
12 NGO berkenaan antaranya Persatuan Suku Jakun Pahang (PSJP); Pertubuhan Wanita Orang Asal Malaysia (PWOAM); Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM); Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP); Centre for Orang Asli Concerns (COAC) dan Pusat KOMAS.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan yang didakwa dilakukan secara senyap oleh kerajaan negeri Pahang dan pihak tertentu telah jelas melanggar prinsip rundingan bebas, awal dan dimaklumkan (FPIC) tidak melibatkan masyarakat Orang Asli dan tidak adil malahan jelas sekali telah melanggar prinsip Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP).
Gabungan berkenaan turut membantah kenyataan Ketua Polis Pahang yang mendakwa bahawa masyarakat Orang Asli dalam kejadian itu telah dihasut oleh pihak tertentu.
"Tuduhan tersebut adalah tidak tepat, malah bersifat merendahkan keupayaan berfikir masyarakat Orang Asli serta menafikan hak mereka sebagai komuniti yang sedar, matang dan berdaya membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"Melabel tindakan masyarakat Orang Asli sebagai hasil hasutan adalah satu pandangan yang kolot dan mencerminkan kegagalan pihak berkuasa serta kerajaan untuk memahami hak serta kesedaran masyarakat Orang Asli dalam mempertahankan tanah adat dan wilayah dan maruah mereka sendiri.
"Kami turut mengkritik sikap kerajaan Negeri Pahang yang dilihat sambil lewa dan gagal mengiktiraf hak Orang Asli di negeri ini dan selama ini hanya menaburkan janji palsu dengan istilah menjaga dan prihatin dengan keperluan masyarakat Orang Asli itu adalah slogan politik semata-mata yang ditaburkan," katanya.