SHAH ALAM – Masyarakat sivil dan pakar-pakar perundangan menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan serta menamatkan persepsi pendakwaan terpilih.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pelaksanaan itu perlu dipercepatkan memandangkan kajian dan penyelidikan berkaitan cadangan reformasi undang-undang telah dibuat sejak bertahun-tahun lalu oleh masyarakat sivil.
“Kami berharap pihak kerajaan menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri ambil cadangan kami, kaji sebaik mungkin dan kalau sesuai gunalah kerana apa yang kami cadangkan ini hasil kajian yang dibuat bertahun-tahun.
“Kami juga harap pengasingan kuasa ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat di Studio F, Karangkraf di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah dan Pakar Perlembagaan, Maha Balakrishnan.
Turut hadir, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pengarah Eksekutif Bersih, Mohammad Asraf Sharafi dan Konvenor Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Ngeow Chow Ying.
Mengulas lanjut, Hussamuddin menegaskan, dengan input yang diberikan masyarakat sivil, reformasi undang-undang untuk mengasingkan kuasa yang dijanjikan kerajaan diharap dapat memenuhi harapan rakyat dan ia diisi dengan roh serta nilai yang diterjemahkan dengan sikap dan keikhlasan mendaulatkan undang-undang yang akan dimaktubkan.
“Reformasi undang-undang kita perlu buat sampai jadi. Kita nak lihat Malaysia ini adil, tak kira yang kaya, berpangkat atau yang biasa sekalipun. Siapa sahaja yang melanggar undang-undnag perlu diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Untuk ini berlaku, tak boleh ada pesepsi wujudnya pendakwaan terpilih. Keadilan (pula) bukan sahaja kita (perlu) laksanakan, ia mesti dapat dilihat dan lebih penting dirasai oleh sekalian rakyat. Bila (unsur) pilih kasih tidak wujud, baharulah kita benar-benar dapat menikmati keharmonian, kestabilan politik dan ekonomi serta keberkatan datang kepada negara kita ini,” ujarnya.
Hussamuddin menjelaskan, ia kerana realiti kita hari ini menunjukkan seolah mayarakat lupa bahawa negara terbangun dengan undang-undang namun undang-undang juga seperti hanya untuk hiasan sahaja.
Tambahnya, salah guna kuasa dan situasi kepentingan diri mengatasi kepentingan rakyat berlaku di mana-mana seperti masyarakat sudah hilang ‘common sense’ untuk memilih mana yang betul dan mana yang salah.
“Ini masanya untuk kita kembali mendaulatkan undang, kawal kehendak sendiri, kepentingan diri dan berpegang kepada undang-undang serta kena tahu bahawa nilai dalam undang-undang itu akan membentuk Malaysia yang lebih baik.
“Ia perlu bermula dengan undang-undang yang berkualiti, maka kami berharap tak kira pembangkang atau kerajaan harus mengambil serius pandangan masyarakat sivil hari ini. Percayalah ini legasi besar yang akan kita tinggalkan untuk anak cucu kita.
“Peluang ini tak datang berkali-kali dalam hidup, masa kita pun tak panjang. Pemerintahan boleh bertukar ganti, fikir dan buat terbaik demi maruah generasi dan Malaysia,” katanya lagi.