Pendakwa Raya Negara perlu diberikan kuasa penuh bawah Perlembagaan - Chow Ying

Iklan
Chow Ying pada program bertajuk " Pengasingan Kuasa Peguam dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?" pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Pendakwa Raya Negara yang dicadangkan perlu diberikan kuasa penuh di bawah Perlembagaan dan statut ke atas semua fungsi pendakwaan di Malaysia.

Penganjur Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Ngeow Chow Ying berkata, ia termasuklah kuasa untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan prosiding jenayah di bawah akta persekutuan serta negeri kecuali di mahkamah syariah, mahkamah anak negeri dan mahkamah tentera.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jawatan tersebut juga akan beroperasi sebagai pejabat bebas yang berasingan daripada Peguam Negara.

"Pendakwa Raya Negara akan dikehendaki melaksanakan tugas secara saksama dan bebas daripada pengaruh politik atau campur tangan dari badan eksekutif, berpandukan kuasa, tugas serta kod amalan yang dimandatkan oleh statut.

Iklan

"Satu Akta Pemboleh mesti menetapkan tugas utama dan syarat perkhidmatan bagi perkhidmatan pendakwaan, mewajibkan pengeluaran garis panduan pendakwaan, kod kelakuan serta kod etika," katanya pada program bertajuk" Pengasingan Kuasa Peguam dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?" pada Khamis.

Chow Ying memaklumkan, garis panduan mengawal hubungan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya Negara juga diperlukan, selain kesemuanya mesti diwartakan, dibentangkan di Parlimen dengan mengikat Pendakwa Raya serta anggota perkhidmatan pendakwaan.

Iklan

Beliau berkata, Pendakwa Raya Negara mesti berunding dengan Peguam Negara hanya dalam kes-kes luar biasa yang melibatkan keselamatan negara, walaupun diberi kuasa untuk bertindak secara autonomi.

Chow Ying memberitahu, nasihat Peguam Negara pula mesti diberikan secara bertulis, namun Pendakwa Raya Negara tidak diwajibkan untuk mengikutinya.

"Peranan perundingan terhad Peguam Negara ini mesti ditakrifkan dengan jelas dan ditetapkan dalam Perlembagaan atau perundangan, dengan hubungan operasi antara kedua-dua pejabat dirasmikan melalui garis panduan berkanun yang diwartakan dan dibentangkan di Parlimen," ujarnya lagi.

Kata beliau, Pendakwa Raya Negara juga akan mengambil alih tanggungjawab yang kini dipegang oleh Peguam Negara, seperti memberikan pendapat bertulis kepada Lembaga-Lembaga Pengampunan.