Pemisahan badan pendakwaan perlu bebas daripada eksekutif dan kehakiman

Iklan
Maha (empat dari kiri) bersama Hussamuddin (tengah) bergambar dengan barisan panelis dan jemputan dalam program anjuran Rasuah Busters, Malaysia Tanpa Rasuah bertajuk “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” berlangsung di Studio F Karangkraf, pada Khamis.

SHAH ALAM – Penubuhan jawatan baharu Pendakwa Raya Negara perlu disertai dengan pengasingan institusi yang jelas dan bebas daripada pengaruh cabang eksekutif serta kehakiman.

Pakar Demokrasi Berperlembagaan, Maha Balakrishnan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang bakal ditubuhkan mestilah diasingkan sepenuhnya daripada perkhidmatan kehakiman dan badan eksekutif bagi menjamin kebebasan badan pendakwaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian dalam program anjuran Rasuah Busters, Malaysia Tanpa Rasuah bertajuk “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” berlangsung di Studio F Karangkraf, di sini, pada Khamis.

Antara panelis terlibat, penganjur Projek Sama, Ngeow Chow Ying; Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz (tiga kanan); Pengarah Eksekutif Bersih, Mohammad Asraf Sharafi; Ketua Pegawai Eksekutif C4 Centre, Pushpan Murugiah.

Iklan

Turut terlibat dalam program berkenaan ialah Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, menurut Maha, ketika ini terdapat satu suruhanjaya yang mengawal kedua-dua perkhidmatan kehakiman dan perkhidmatan perundangan.

Iklan

Bagaimanapun, jelas beliau, apabila jawatan baharu Pendakwa Raya Negara diwujudkan untuk mengendalikan fungsi pendakwaan, ia sewajarnya diletakkan di bawah sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang berasingan.

Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan tidak berlaku campur tangan antara badan pendakwaan dengan cabang eksekutif mahupun cabang kehakiman.

“Suruhanjaya yang akan menilai, melantik dan mengurus tanggungjawab badan pendakwa raya perlu mempunyai kebebasan daripada eksekutif.

“Ini termasuk bebas daripada sektor perkhidmatan awam yang kadangkala turut menjadi subjek siasatan dan pendakwaan jenayah,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pemisahan itu penting untuk menghapuskan persepsi awam bahawa anggota kerajaan atau pegawai perkhidmatan awam boleh mempengaruhi badan pendakwaan.

Selain itu, pengasingan perkhidmatan kehakiman daripada badan pendakwaan juga akan memastikan Pendakwa Raya Negara yang baharu tidak berada dalam kedudukan yang menimbulkan konflik kepentingan.

Jelasnya, keadaan itu boleh berlaku sekiranya wujud penglibatan dalam pelantikan majistret, hakim Mahkamah Sesyen atau pegawai undang-undang yang berkhidmat dalam sistem mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan anggota cabang eksekutif atau sektor perkhidmatan awam tidak sepatutnya dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Pendakwaan yang dicadangkan.

Bagaimanapun, tambahnya, pengecualian boleh diberikan kepada Pendakwa Raya Negara dalam peranannya sebagai Ketua Perkhimatan Pendakwaan.