Cadangan pengasingan kuasa AG-Pendakwa Raya perlu seimbang autonomi dan akauntabiliti

Iklan
Maha bercakap dalam program anjuran Rasuah Busters, Malaysia Tanpa Rasuah bertajuk “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” di Karangkraf, Shah Alam pada Khamis. Foto Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM – Pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara kebebasan institusi dan prinsip akauntabiliti kepada Parlimen.

Pakar Demokrasi Berperlembagaan, Maha Balakrishnan berkata, pentadbiran pendakwaan negara sememangnya perlu bertindak secara autonomi serta bebas daripada campur tangan mana-mana pihak bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang.

Iklan
Iklan

Namun, menurutnya, cadangan mewujudkan jawatan Pendakwa Raya Negara yang baharu juga akan memusatkan kuasa besar kepada seorang individu tidak dipilih secara langsung oleh rakyat dan tidak mempunyai akauntabiliti terus kepada mereka.

“Jadi, adalah amat penting untuk membuktikan bahawa pentadbiran pendakwaan tidak akan atau tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan bahawa perkhidmatan pendakwaan akan ditakbir mengikut undang-undang,” ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam program anjuran Rasuah Busters, Malaysia Tanpa Rasuah bertajuk “Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat?” yang berlangsung di Studio F, Karangkraf, di sini pada Khamis.

Antara panelis terlibat, penganjur Projek Sama, Ngeow Chow Ying; Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pengarah Eksekutif Bersih, Mohammad Asraf Sharafi; Ketua Pegawai Eksekutif C4 Centre, Pushpan Murugiah.

Iklan

Turut terlibat dalam program berkenaan ialah Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Maha berkata, institusi Pendakwa Raya Negara dan keseluruhan perkhidmatan pendakwaan perlu diperkukuhkan melalui peruntukan undang-undang yang jelas serta dipertanggungjawabkan kepada Parlimen berhubung pelaksanaan kuasa, fungsi dan operasi takbir urus.

Antara cadangan dikemukakan ialah supaya peraturan serta prosedur mengenai pengendalian dan amalan pendakwaan mesti digubal dan didedahkan kepada umum, sama ada melalui akta berkaitan atau peraturan subsidiari.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Pendakwa Raya Negara harus diwajibkan mengemukakan cadangan serta pelan pelaksanaan bagi tahun pertama dan kedua serte seterusnya penubuhan jawatan berkenaan.

Katanya, Pendakwa Raya Negara juga perlu bersedia hadir ke Parlimen untuk menjawab soalan berkaitan dasar, prestasi pendakwaan serta pelaksanaan pentadbiran jabatan, tanpa melibatkan campur tangan dalam keputusan kes tertentu.

Bagi tujuan pengawasan, beliau mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Khas tetap Dewan Rakyat ditubuhkan dengan kuasa khusus untuk meneliti pelaksanaan kuasa dan fungsi pendakwaan serta aspek pentadbiran Jabatan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan paling penting adalah jawatankuasa itu tidak seharusnya mempunyai kuasa untuk memaksa Pendakwa Raya memulakan, menghentikan atau menarik balik sesuatu pendakwaan.

"Cadangan kami juga jawatankuasa terbabit di pengerusikan oleh Ahli Parlimen Pembangkang," ujarnya.

Menurutnya, mekanisme pengawasan dan ketelusan itu wajar diperuntukkan secara jelas dalam akta berkaitan, termasuk kod serta peraturan yang mengawal pelaksanaan kuasa pendakwaan dan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.