Regeneratif sawit: WWF, SD Guthrie uji pendekatan baharu transformasi industri

Iklan
Mohd Haris (tiga dari kiri) dan Sophia (tiga dari kanan) menunjukkan kerjasama ditandatangani dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Industri minyak sawit negara melangkah ke fasa baharu apabila World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) bersama SD Guthrie Berhad melaksanakan projek perintis pertanian regeneratif minyak sawit selama lima tahun di Sabah.

Ia sekali gus menandakan peralihan daripada pendekatan pematuhan pensijilan semata-mata kepada transformasi berskala landskap.

Iklan
Iklan

Inisiatif pertama seumpamanya dalam industri itu memberi tumpuan kepada kawasan seluas kira-kira 13,000 hektar di Tawau, Sabah, merangkumi lima ladang Guthrie yang diperakui Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO), dengan matlamat mencapai hasil biodiversiti dan iklim yang boleh diukur.

Kerjasama strategik berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar WWF-Malaysia untuk memacu hasil positif biodiversiti dan iklim pada skala landskap, khususnya di kawasan keutamaan ekologi di Sabah.

Iklan

Projek tersebut turut menjadi perintis di bawah Inisiatif Reconnect Borneo WWF iaitu usaha serantau bagi memulihkan kesalinghubungan ekologi di seluruh Borneo melalui rangkaian koridor hidupan liar.

Menerusi kerjasama itu, WWF-Malaysia dan Guthrie akan berganding bahu mewujudkan koridor hidupan liar, memperkukuh pemuliharaan biodiversiti serta melaksanakan rangka kerja global minyak sawit regeneratif WWF dalam keadaan operasi sebenar.

Iklan

Pendekatan berkenaan dirangka untuk melangkaui pensijilan sedia ada dengan menumpukan kepada penambahbaikan yang boleh diukur dari segi biodiversiti, daya tahan iklim dan kesejahteraan komuniti, di samping memastikan produktiviti jangka panjang terus dioptimumkan.

Rangka kerja minyak sawit regeneratif merujuk kepada pengeluaran yang kekal berdaya maju secara komersial, menyokong pekerja serta komuniti setempat selain secara aktif menambah baik biodiversiti, perkhidmatan ekosistem dan daya tahan iklim.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, perkongsian tersebut mencerminkan langkah tegas kedua-dua pihak untuk menguji amalan baharu yang mampu menyampaikan hasil biodiversiti dan iklim pada skala landskap di kawasan keutamaan Sabah.

“Pendekatan ini melangkaui pensijilan RSPO dan MSPO untuk menghasilkan penambahbaikan yang boleh diukur bagi biodiversiti, daya tahan iklim dan komuniti, sambil mengiktiraf kepentingan ekonomi minyak sawit kepada Malaysia serta pasaran global,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, transformasi industri tidak boleh berlaku secara terasing, sebaliknya memerlukan kerjasama antara organisasi pemuliharaan, peneraju industri dan pihak berkepentingan rantaian nilai bagi membangunkan penyelesaian yang praktikal, berasaskan sains serta boleh diskalakan.

Dari sudut korporat, projek perintis itu selari dengan rangka kerja kemampanan “Beyond Zero” Guthrie yang menyasarkan pelaksanaan Rangka Kerja Pertanian Regeneratif bagi sektor minyak sawit menjelang 2028.

Selain itu, Guthrie turut komited memulihkan dan memulihara 100,000 hektar tanah di dalam dan di luar rantaian nilainya menjelang 2030 bagi meningkatkan biodiversiti serta daya tahan alam sekitar.

Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, kerjasama dengan WWF membuka ruang pembelajaran baharu untuk menambah baik cara syarikat berinteraksi dengan alam sekitar.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen Guthrie untuk mencapai sasaran ‘Beyond Zero’ secara praktikal dan berwibawa di samping meningkatkan operasi minyak sawit yang produktif dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, menerusi inisiatif tersebut Guthrie berhasrat melangkaui keperluan pensijilan dengan bukan sahaja meminimumkan kesan negatif operasi, malah secara aktif memupuk hasil positif di landskap tempat syarikat beroperasi.

Semua aktiviti di bawah kerjasama itu melibatkan ladang serta kawasan pemuliharaan yang diperakui RSPO dan MSPO selain tertakluk kepada audit bebas, semakan risiko serta kawalan tadbir urus WWF.

Komunikasi susulan berkaitan projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada garis dasar pemuliharaan serta hasil yang telah disahkan, bagi memastikan tahap ketelusan dan kredibiliti inisiatif kekal terpelihara.

Sebagai projek perintis, kerjasama itu dijangka menjadi rujukan kepada penerimagunaan lebih meluas dalam industri selain membuka laluan kepada penglibatan masa depan bersama pihak berkepentingan lain dalam sektor minyak sawit.

Melalui pendekatan regeneratif berskala landskap, WWF-Malaysia dan Guthrie berharap dapat membuktikan bahawa transformasi industri minyak sawit mampu menyumbang secara nyata kepada matlamat biodiversiti dan iklim negara, sekali gus mempengaruhi perubahan lebih luas di peringkat global.