PERTUMBUHAN pesat kafe moden di Kuala Lumpur menjadikan industri kopi semakin kompetitif. Malah, sebahagian pengusaha terpaksa menamatkan operasi akibat tekanan kos dan persaingan sengit.
Keadaan itu membuka ruang kepada seorang usahawan muda memperkenalkan jenama kopi, Drip Too Hard dengan pendekatan operasi yang lebih ringkas dan strategik.
Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri, 26, tampil dengan pendekatan berbeza dalam industri kopi menerusi perniagaan berasaskan treler bergerak yang meletakkan strategi pemilihan lokasi sebagai teras utama operasi.
Berbeza dengan kebanyakan usahawan yang memberi tumpuan kepada dekorasi kafe dan strategi pemasaran, Muhammad Nuraiman memilih pendekatan minimalis dengan memulakan operasi di tapak parkir Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pada peringkat awal operasi, sambutan pelanggan hadir secara tidak dijangka apabila ramai peguam mencuba kopi yang dijual berhampiran kawasan mahkamah, sekali gus menjadikan mereka pelanggan tetap.
“Pada mulanya, kami dimaklumkan bahawa pilihan kopi di kawasan mahkamah agak terhad dan kebanyakannya dijual pada harga lebih mahal.
“Selepas mencuba, ramai pelanggan memuji kualiti kopi kami dan kini kira-kira 30 orang peguam menjadi pelanggan tetap yang datang hampir setiap hari,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Operasi ringkas, kos lebih terkawal
Menurutnya, konsep Drip Too Hard dibangunkan berdasarkan pemerhatian bahawa harga secawan kopi di beberapa kawasan bandar utama boleh mencecah sekitar RM14 bagi minuman latte, selain kebanyakan jenama besar menawarkan rasa yang hampir sama dan mudah didapati di mana-mana.
“Kopi tetap kopi, jadi bagi saya perbezaan terbesar bukan semata-mata pada produk, tetapi pada lokasi. Jika lokasi betul, pelanggan akan datang sendiri tanpa perlu pemasaran besar-besaran.
“Dengan pemilihan lokasi yang tepat, kami tidak perlu melakukan pemasaran secara agresif kerana pelanggan yang melalui kawasan tersebut secara automatik akan melihat dan mencuba produk ditawarkan. Operasi juga lebih ringkas apabila kami beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 2 petang setiap hari,” jelasnya.
Drip Too Hard yang mula beroperasi pada penghujung November 2025 turut mengekalkan keunikannya melalui penyediaan sirap, sos serta produk bakeri seperti brownies, cinnamon roll dan kaya roll yang dihasilkan sepenuhnya secara buatan sendiri.
Perniagaan itu kini mempunyai tiga pekerja bagi menguruskan operasi harian.
Berbekalkan pengalaman dan modal RM50,000
Menurut Muhammad Nuraiman, latar belakang pengajian dalam bidang Ekonomi dan Kewangan di Northeastern University London serta pendedahan kepada dunia korporat melalui latihan industri di institusi kewangan antarabangsa menjadi antara faktor yang mendorongnya memilih laluan keusahawanan.
“Saya sedar jika bekerja lama di syarikat besar, akhirnya ia tetap bukan milik kita. Tetapi jika kita membina sesuatu sendiri, setiap usaha yang dilakukan hari ini adalah untuk masa depan kita sendiri,” ujarnya.
Dengan modal permulaan sekitar RM50,000 yang digunakan bagi pembelian mesin kopi, pengisar, inventori serta sewaan treler, Drip Too Hard kini mencatat purata jualan antara 70 hingga 100 cawan kopi sehari.
Menariknya, pelanggan utama bukan pelajar seperti kebanyakan jenama kopi bajet, sebaliknya golongan profesional termasuk peguam, wartawan dan kakitangan mahkamah yang menjadi pelanggan tetap.
Prestasi jualan turut menunjukkan peningkatan apabila perniagaan itu merekodkan hasil sekitar RM10,000 pada Disember 2025 sebelum meningkat kepada kira-kira RM11,000 pada Januari 2026.
Disiplin dan ketahanan mental jadi cabaran utama
Walaupun konsep operasi kelihatan ringkas, Muhammad Nuraiman mengakui cabaran terbesar sebenarnya datang daripada disiplin serta ketahanan mental sebagai usahawan yang perlu menguruskan operasi seawal pagi.
“Kami perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persediaan sebelum mula beroperasi. Rutin ini memerlukan mental yang kuat dan disiplin yang konsisten setiap hari. Selain itu, cabaran logistik juga dijangka meningkat apabila perniagaan berkembang.
“Setakat ini, walaupun pada hari paling perlahan, kami masih mencatat margin keuntungan yang sihat. Menariknya, cabaran sebenar bukan ketika pelanggan kurang, sebaliknya apabila terlalu ramai pelanggan sehingga bekalan seperti ais dan susu tidak mencukupi.
“Namun dalam situasi itu, kami tetap meneruskan operasi kerana pada akhirnya aliran pelanggan akan kembali normal,” katanya.
Memberi kembali kepada komuniti
Muhammad Nuraiman berkata, antara momen paling bermakna sepanjang perjalanan perniagaan ialah apabila Drip Too Hard menganjurkan acara amal bersama Persatuan Rakan Institut Jantung Negara (IJN) yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Minggu lalu, kami menganjurkan acara amal dengan kerjasama Persatuan Rakan IJN yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak menghidap kanser serta pelbagai penyakit kritikal daripada keluarga kurang berkemampuan. Dalam tempoh dua setengah jam sahaja, kami berjaya mengumpul kira-kira RM2,000.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, bagi sebuah treler kecil seperti kami, ia sangat bermakna dan membuktikan sokongan kuat masyarakat terhadap usaha yang dijalankan,” katanya.
Berkembang secara senyap tetapi konsisten
Mengulas perancangan masa hadapan, Muhammad Nuraiman berkata beliau merancang untuk membuka cawangan kedua dalam tempoh tiga bulan.
“Saya bercadang membuka konsep yang sama di Shah Alam atau Putrajaya, khususnya di kawasan tumpuan penjawat awam atau golongan profesional.
“Saya percaya kita tidak perlu berkembang terlalu cepat. Kuasai lokasi kecil satu demi satu, kemudian berkembang secara konsisten,” katanya.
Sebagai nasihat kepada anak muda yang ingin memulakan perniagaan, Muhammad Nuraiman menegaskan langkah paling penting ialah keberanian untuk bermula.
“Separuh daripada kejayaan adalah bermula. Jika gagal hari ini, cuba lagi esok. Yang penting, jangan takut untuk mencuba,” ujarnya.