TEKANAN permintaan pasaran yang semakin meningkat serta isu kualiti produk mendorong syarikat pengeluar makanan tempatan, Mudim Food Industries Sdn Bhd, melabur kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf sistem pengeluaran menerusi penggunaan mesin berteknologi moden.
Pengurus Pemasaran dan Jenama Mudim, Mohd Izzad Al Syafiq Abdul Karim berkata, pelaburan tersebut dibuat selepas syarikat berdepan cabaran besar melibatkan mesin lama yang telah digunakan lebih sedekad dan beroperasi melebihi kapasiti asal.
Menurutnya, mesin sedia ada hanya mampu menghasilkan sekitar empat juta unit setahun, namun terpaksa digunakan sehingga tujuh juta unit bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“Operasi melebihi kapasiti ini telah menimbulkan beberapa isu kualiti termasuk pembungkusan plastik kembung serta penyusutan mutu produk seperti kicap dan sos.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna, sebahagian produk terpaksa ditarik balik daripada pasaran dan situasi ini memerlukan tindakan segera daripada pihak syarikat,” katanya ketika ditemui Sinar Bisnes di ibu pejabatnya di Kampung Jelutong di Pendang.
Mohd Izzad berkata, mengikut perancangan asal, penggantian mesin berteknologi tinggi dijadualkan pada Mei 2025, namun isu kualiti yang dikesan lebih awal memaksa syarikat mempercepatkan proses tersebut ke Disember lalu.
Tambahnya, mesin baharu yang kini berada dalam fasa percubaan dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 12 juta unit setahun, sekali gus menyokong pertumbuhan permintaan pasaran pada masa hadapan.
“Dalam industri pengeluaran makanan, aspek kualiti tidak boleh dikompromi. Apabila dikenal pasti puncanya berpunca daripada mesin yang telah uzur dan beroperasi melebihi kapasiti, keputusan untuk menggantikannya perlu dibuat segera,” katanya.
Menurutnya, penggunaan mesin moden itu juga telah menunjukkan penurunan ketara kes kerosakan produk dan syarikat menjangkakan isu kualiti dapat diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.
Selain pelaburan mesin, Mudim turut memperketatkan prosedur kawalan kualiti dengan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap setiap kelompok pengeluaran sebelum produk diedarkan kepada pengedar dan peruncit.
Mengulas aduan pengguna yang masih menemui produk bermasalah di pasaran, Mohd Izzad berkata, keadaan tersebut berpunca daripada maklumat penarikan balik yang tidak sampai sepenuhnya kepada semua peringkat peruncit.
Jelasnya, dalam hal ini, pengguna tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dan Mudim memahami kekangan komunikasi di peringkat pengurusan dan pekerja.
“Kami memahami bahawa dalam rantaian pengedaran yang panjang, wujud kekangan komunikasi. Justeru, syarikat terus berhubung rapat dengan pengedar dan pemborong bagi mengasingkan produk terlibat dan proses penggantian masih berjalan.
“Syarikat mengakui ini merupakan cabaran terbesar sepanjang hampir 40 tahun kami beroperasi sejak 1987. Walaupun isu kecacatan kecil boleh berlaku dalam mana-mana industri makanan, insiden kali ini adalah yang paling serius pernah dihadapi dan menjadi pengajaran besar kepada syarikat,” katanya.
Sementara itu, menyentuh isu sijil halal, beliau menjelaskan bahawa sijil halal Mudim pernah digantung sementara untuk semakan, namun telah dikembalikan sepenuhnya pada 15 Disember lalu.
Menurutnya, penggantungan itu bukan kerana penggunaan bahan terlarang atau isu kebersihan, sebaliknya sebahagian daripada prosedur semakan biasa.
Mudim kini mengeluarkan 21 jenis produk termasuk kicap, sos, cuka dan serbuk masakan serta mempunyai lebih 2,000 pengedar di seluruh negara.