Perak ambil pendekatan rundingan, pemutihan rumah ibadat tidak sah

Iklan
Sandrea

IPOH – Kerajaan negeri Perak menegaskan sebarang tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah akan dilaksanakan secara tersusun berlandaskan undang-undang dan rundingan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilihat dalam konteks menyeluruh, iaitu penegasan terhadap kedaulatan undang-undang dan aspek keselamatan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri menghormati kebebasan beragama, namun semua rumah ibadat tetap tertakluk kepada undang-undang, peraturan tanah serta garis panduan PBT.

“Intipati utama kenyataan Perdana Menteri bukanlah untuk meroboh secara tergesa-gesa.

Iklan

“Sebaliknya, ia menegaskan keperluan mematuhi undang-undang dan memastikan keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sandrea berkata, pendekatan kerajaan negeri berteraskan pematuhan, penyelarasan dan penyelesaian secara tersusun.

Iklan

Katanya, jawatankuasa rumah ibadat sangat digalakkan membuat permohonan rasmi serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Kita tidak menggalakkan amalan ‘bina dahulu, mohon kemudian’, namun dalam masa sama, kerajaan negeri juga tidak mengambil pendekatan konfrontasi tanpa rundingan,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi rumah ibadat lama yang belum mempunyai status tanah lengkap akan dinilai dengan mengambil kira sejarah tapak, kesesuaian perancangan, faktor keselamatan serta kemungkinan pemutihan atau pelarasan status.

Jelasnya, pertimbangan hanya boleh dibuat selagi ia tidak melibatkan risiko keselamatan awam atau pencerobohan rizab.

Mengulas mengenai data terperinci dan dasar khusus rumah ibadat mengikut agama di Perak, Sandrea berkata, perkara itu berada di bawah portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Rumah Ibadat Dalam Gua dan Pembangunan Kawasan Kaki Bukit bagi menangani isu lama yang sebelum ini tiada garis panduan jelas.

Katanya, garis panduan baharu itu mensyaratkan pelan ukur oleh juruukur bertauliah, laporan penilaian risiko, pelantikan pegawai keselamatan serta perlindungan insurans.

“Projek rintis kini di peringkat akhir permohonan kebenaran merancang dan dijangka menjadi prosedur operasi standard (SOP) rujukan bagi kes pembangunan di kawasan sensitif pada masa hadapan.

“Matlamat kita adalah memastikan semua pembangunan, termasuk rumah ibadat, berada dalam kerangka undang-undang, selamat dan mampan,” katanya.

Sandrea turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa terbuka membantu rumah ibadat yang mematuhi syarat melalui pewartaan tapak rizab agama serta sokongan kelulusan dana aktiviti.