IPOH - Kawasan kandang kuda yang pernah sepi dan ditinggalkan kini kembali ‘bernyawa’ dengan aktiviti masyarakat apabila diberi nafas baharu sebagai Bazar Kandang Kuda atau Ipoh Stables Market (ISM).
Ia menjadikan ISM sebagai sebuah tarikan pelancongan unik yang diiktiraf pasar kandang kuda pertama seumpamanya di Asia.
Terletak dalam kawasan bersejarah Kelab Lumba Kuda Perak (PTC), ISM muncul sebagai contoh kejayaan transformasi warisan apabila struktur lama yang dahulunya menempatkan kuda lumba ditukar menjadi ruang perniagaan, rekreasi dan interaksi komuniti tanpa menghapuskan identiti asalnya.
Sebanyak 137 struktur daripada keseluruhan kira-kira 800 kandang kuda di kawasan itu dikenal pasti terbiar kebanyakannya dibina sekitar tahun 1992 hingga 1993 dan tidak pernah diruntuhkan.
Melihat potensi besar yang ada, PTC mengambil langkah proaktif membangunkan semula kandang berkenaan sebagai satu projek pemuliharaan dan pembangunan ekonomi setempat dengan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf selama kira-kira 11 bulan tahun lalu sebelum pengurusan operasinya diserahkan kepada Perak Ipoh Stable Market (PISM) Management Sdn Bhd.
Hasilnya, kandang kuda lama yang sarat dengan nilai nostalgia kini berubah menjadi deretan kedai dan gerai yang menempatkan peniaga tempatan, pengusaha makanan, usahawan industri kreatif serta golongan belia yang membawa idea baharu ke tengah bandar Ipoh.
Keistimewaan ISM terletak pada pendekatan pembangunan yang mengekalkan sebahagian besar struktur asal kandang kuda termasuk pintu masuk utama yang menampilkan pintu permulaan perlumbaan kuda ikonik, dibeli dari United Kingdom sekitar era 1960-an, sekali gus mengekalkan aura sejarah PTC yang ditubuhkan sejak tahun 1886.
Terdapat sebanyak 90 gerai beroperasi di enam lorong bertema iaitu Mari Lane, Market Lane, Mata Lane, Maalaf Lane, Manja Lane dan Mahu Lane dengan setiap lorong menawarkan pengalaman berbeza.
Ia merangkumi makanan dan minuman tempatan, barangan segar, seni dan kraftangan, aktiviti sukan maya serta kemudahan khas seperti Klinik Veterinar PTC yang menjadikan ISM mesra pengunjung bersama haiwan peliharaan.
Bagi memastikan keselesaan pengunjung, kemudahan asas seperti tandas, surau dan bilik penyusuan turut disediakan, menjadikan ISM sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee yang menyempurnakan perasmian ISM menyifatkan pembangunan itu sebagai contoh bagaimana warisan lama boleh terus ‘hidup’ dan relevan dengan keperluan semasa.
“PTC sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah Ipoh. Pintu gerbang berusia lebih 60 tahun yang dibawa dari United Kingdom dan masih berfungsi secara mekanikal hari ini melambangkan warisan yang tidak terhenti di muzium, sebaliknya terus digunakan dan dinikmati
“ISM bukan sekadar sebuah pasar, sebaliknya ekosistem komuniti yang menghubungkan penduduk tempatan, usahawan muda dan pelawat dalam satu ruang yang inklusif,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian ISM pada 18 Januari lalu.
Menurut beliau, hampir 80 peratus peniaga di sini berusia bawah 35 tahun termasuk anak Ipoh yang kembali selepas bekerja di luar Perak atau luar negara dengan membawa pulang pengalaman, kreativiti dan semangat untuk membawa kelainan di tempat kelahiran mereka.
Dalam pada itu, beliau melihat kewujudan ISM selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Ipoh sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berasaskan warisan dan komuniti.