Empangan Bukit Merah kritikal, air hanya tinggal 17.2 peratus

Iklan
Aras simpanan air Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal dengan hanya 17.22 peratus daripada kapasiti keseluruhan. Foto fail Bernama

IPOH – Aras simpanan air Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal apabila hanya mencatatkan 17.22 peratus daripada kapasiti keseluruhan susulan trend penurunan paras air yang berterusan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini aras takungan empangan direkodkan pada 6.294 meter sekali gus meletakkannya pada Status Kritikal Pengairan Tahap 3.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jumlah simpanan air empangan ketika ini adalah sebanyak 9.3825 juta meter padu berbanding kapasiti maksimum keseluruhan.

Mohammad Nizar

Iklan

"Tiada hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan bacaan 0.00 milimeter dan keadaan cuaca di kawasan empangan dilaporkan baik serta cerah.

"Bukaan spillway tidak diaktifkan kerana aras air empangan ketika ini berada jauh di bawah aras alur limpah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas operasi pintu empangan, Mohammad berkata, pelepasan air melalui pintu outlet masih diteruskan secara terkawal bagi memastikan keperluan pengairan semasa dapat dipenuhi.

Katanya, bagi Terusan Selinsing, dua pintu dibuka pada kadar 20 peratus bersamaan 488 milimeter, manakala satu pintu Terusan Besar dibuka pada kadar tiga peratus atau 73 milimeter.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kadar aliran air yang dilepaskan melalui bukaan intake bagi tujuan pengairan ke Terusan Besar adalah sebanyak 0.566 meter padu sesaat manakala ke Terusan Selinsing pula sebanyak 6.230 meter padu sesaat.

Beliau menegaskan, pemantauan berterusan serta pengurusan pelepasan air secara berdisiplin dan berhemah amat penting bagi memastikan bekalan air pengairan dapat dikekalkan untuk tempoh lebih panjang.

Jelasnya, kerjasama semua pihak khususnya pasukan operasi empangan dan pengurusan pengairan amat dihargai bagi memastikan operasi Empangan Bukit Merah terus berjalan dengan selamat dan berkesan.