IPOH – Masyarakat diingatkan supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu yang disiasat atas dakwaan rasuah, sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kehakiman untuk menjalankan tugas masing-masing.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, seseorang yang dituduh belum tentu bersalah selagi perkara tersebut belum diputuskan oleh mahkamah.
Menurutnya, orang awam tidak seharusnya bertindak sebagai ‘hakim’ dengan membuat pelbagai andaian dan kecaman terhadap individu terlibat tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Kita yakin SPRM tidak akan bertindak kecuali mempunyai asas. Individu yang dituduh itu belum tentu bersalah, jadi berilah ruang kepada agensi penyiasatan menjalankan tugas dan biarlah mahkamah yang menentukan keputusan.
“Jangan kita sebagai orang awam cepat-cepat menjadi hakim mewakili Yang Arif Hakim di mahkamah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Mufti Negeri Perak di Auditorium Cempaka Sari, Pejabat SPRM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Dalam pada itu, Zamri turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend segelintir individu yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi, namun menegaskan bahawa undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira status atau latar belakang seseorang.
“Biarlah SPRM dan agensi-agensi penyiasatan lain menjalankan tugas masing-masing. Kami para asatizah akan terus menyuarakan bahaya rasuah dan salah guna kuasa, dan tidak akan berhenti berbuat demikian. Namun apabila melibatkan siasatan, perkara itu diserahkan kepada agensi yang mempunyai kepakaran,” katanya.
Tambah beliau, undang-undang perlu ditegakkan tanpa memilih bulu.
“Tidak kira siapa, undang-undang mengatasi semua orang. Sekiranya seseorang didapati bersalah, maka dia wajar disiasat dan didakwa jika mempunyai bukti yang mencukupi. Kita tidak melindungi sesiapa sama ada rakan, orang agama atau asatizah. Jika bersalah, kita serahkan kepada kebijaksanaan agensi penguatkuasaan.
“Kami para asatizah akan terus bercakap mengenai bahaya rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Menurut beliau, institusi agama juga tidak terkecuali daripada risiko penyelewengan memandangkan ia melibatkan warga kerja daripada pelbagai latar belakang profesion.
Sehubungan itu, Zamri menegaskan kerjasama strategik antara Jabatan Mufti dan SPRM akan terus diperkukuhkan, termasuk melalui pendekatan dakwah seperti khutbah dan ceramah.
Katanya, sejak tahun lalu Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganugerahkan tauliah khas profesionalisme kepada beberapa pegawai SPRM bagi membolehkan mereka menyampaikan ceramah berkaitan bahaya rasuah di masjid dan surau.
Mengulas pelaksanaan OACP dan IBR di Jabatan Mufti, Zamri berkata, usaha membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi agama.
Beliau berkata, Jabatan Mufti Negeri Perak telah menstruktur semula inisiatif antirasuah dengan memfokuskan 25 inisiatif yang lebih terarah dan berimpak tinggi berbanding 75 inisiatif sebelum ini.
“OACP ini sesuatu yang boleh diukur dan didokumentasikan. Iman itu penting, namun ia tidak dapat dilihat dan tahapnya juga boleh berubah-ubah.
“Dalam urusan pentadbiran, kita terikat dengan peraturan dan pematuhan itu tidak lari daripada maqasid syariah,” katanya.