Kes tembak Durian Tunggal: Siasatan lengkap, tunggu arahan AGC – KPN

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka dan kini menunggu laporan daripada agensi berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya juga sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkembangan kes berkenaan.

Iklan
Iklan

“Kita sebenarnya sudah melengkapkan siasatan dan kini menunggu laporan daripada agensi-agensi berkaitan.

“Jika ada perkembangan, kita akan memaklumkannya dari masa ke masa,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Iklan

Mengulas mengenai kes rompakan di Alor Gajah, Melaka yang didakwa mempunyai modus operandi hampir sama dengan kejadian di Durian Tunggal, Mohd Khalid berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang kaitan.

“Isu-isu seperti ini memang kita lihat berlaku di sana sini dan pihak polis berusaha mengekang supaya ia tidak berterusan.

Iklan

“Siasatan dijalankan secara berterusan dan ada ketika kita cuba mengaitkan satu kes dengan kes yang lain, namun setakat ini siasatan masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, pada November tahun lalu berada di peringkat melengkapkan pembuktian teknikal.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberitahu ketika ini pihak polis sedang menunggu dua laporan penting iaitu berkaitan patologi dari Hospital Melaka dan analisis forensik membabitkan Jabatan Kimia Malaysia.

Pada 16 Disember tahun lalu, polis mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka telah dirujuk dan dikemukakan kepada AGC.

Mohd Khalid dalam kenyataan berkata, hasil penelitian, AGC bersetuju dengan syor Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menuntut supaya siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian tembakan terbabit berlaku pada November lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan itu, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan parah di lengan kiri.