SPRM nafi dakwaan salah laku, laporan media antarabangsa mengelirukan

Iklan
SPRM memandang serius laporan sebuah agensi media antarabangsa yang didakwa mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas terhadap Ketua Pesuruhjayanya - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius laporan sebuah agensi media antarabangsa yang didakwa mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas terhadap Ketua Pesuruhjayanya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan laporan berkenaan bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai terbabit, malah secara tidak berasas mengaitkan suruhanjaya itu dengan dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguat kuasa berkenaan.

Iklan
Iklan

“Pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus serta prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam.

“Proses itu dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan ketetapan sedia ada,” menurut kenyataan tersebut pada Selasa.

Iklan

SPRM menjelaskan Ketua Pesuruhjayanya telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa.

“Pengisytiharan berkenaan termasuk dibuat melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Iklan

“Ia meliputi sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk saham,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut menegaskan gambaran seolah-olah wujud kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar dari segi fakta.

Menurutnya, persepsi sedemikian memberi tanggapan mengelirukan terhadap kerangka integriti serta tatakelola yang mengawal selia SPRM dan perkhidmatan awam.

Tambah kenyataan itu, ia juga berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya berkenaan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan.

Sehubungan itu, SPRM menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas statutori yang diamanahkan.

“SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam terhadap suruhanjaya ini melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, sebuah portal antarabangsa melaporkan Tan Sri Azam Baki dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.

Menurut laporan itu lagi, sehingga Selasa, nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila saham tersebut diperoleh dan Velocity Capital dilaporkan masih belum mengemukakan pemfailan yang sama, dikenali sebagai penyata tahunan, bagi tahun ini.