MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 melibatkan 16 barangan kawalan selama sembilan hari bermula 13 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim sehingga 21 Februari itu melibatkan barangan keperluan utama termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih China, kobis bulat import, lobak merah, lobak putih serta ubi kentang China.
Menurutnya, turut tersenarai ialah halia tua import, kepak ayam, daging dan perut babi, selain kawalan babi hidup di peringkat ladang.
“Sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti di peringkat nasional untuk dikawal di bawah skim berkenaan, namun jumlah barangan kawalan berbeza mengikut negeri.
“Ia melibatkan 16 barangan di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Empat barangan baharu turut dimasukkan dalam senarai kawalan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar serta bawang merah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 dan Jualan Rahmah Madani di Taman Pandan Mawar di sini pada Selasa.
Armizan berkata, pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 akan dipantau di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain penempatan pegawai penguat kuasa KPDN di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bekalan barangan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina mencukupi dan ditangani sebaiknya termasuk isu bekalan babi yang sebelum ini dianggap agak kritikal.
“Kementerian Pertanian telah mengumumkan bahawa bekalan tambahan import telah diselaraskan bagi memastikan bukan sahaja bekalan mencukupi, malah harga dapat dipantau melalui pelaksanaan SHMMP.
“Selain itu, satu Jawatankuasa Penstabilan Bekalan Barangan Makanan telah diwujudkan di bawah Kerajaan Madani bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Jawatankuasa itu merentasi Kementerian Pertanian dan agensi berkaitan, dengan fokus memantau bekalan terutama menjelang musim perayaan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.