BATU GAJAH – Perjalanan pulang yang tinggal kira-kira lima minit untuk tiba di rumah bertukar menjadi detik terakhir buat tiga sekeluarga dalam tragedi kemalangan di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki S Sarala Devi, 34, ibunya, G Sarasbathy, 65, serta anak tunggalnya, S Shaastikka, 3, bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux.
Sarala Devi dan ibunya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit manakala kanak-kanak tersebut menghembuskan nafas terakhir di Hospital Batu Gajah.
Jiran mangsa, P Vasu, 53, berkata, lokasi kemalangan itu sebenarnya tidak jauh dari rumah keluarga berkenaan di Kampung Harewood, Batu 2, Tanjung Tualang.
“Lagi lima minit sahaja mereka hendak sampai rumah. Kawasan itu pula mempunyai lampu jalan yang terang dan sudah lama tidak berlaku kemalangan di situ,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Batu Gajah pada Selasa.
Menurut Vasu, dia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut oleh rakan-rakan sekitar jam 10 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya nampak dia dan emaknya di dalam kereta. Saya panggil-panggil tetapi tiada respons. Selepas itu, saya pergi melihat anaknya pula… kanak-kanak itu telah dikeluarkan oleh orang awam dan diletakkan di seberang jalan.
“Saya panggil juga tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas,” katanya dengan nada sebak.
Vasu berkata, Sarala Devi dikenali sebagai seorang yang baik dan disenangi jiran-jiran.
“Sejak suaminya meninggal dunia, dia tinggal di sini untuk menjaga ibu dan bapanya. Dia memang seorang yang sangat bertanggungjawab,” katanya.
Seorang lagi jiran yang juga sepupu mangsa, J Puspalatha, 43, berkata, kali terakhir dia berbual dengan Sarala Devi adalah kira-kira jam 5.50 petang pada hari kejadian.
Katanya, ketika itu mangsa mahu keluar ke klinik kesihatan berhampiran kerana anaknya mengalami batuk dan demam.
“Petang itu dia menghantar anak saya ke kelas tuisyen terlebih dahulu. Selepas itu barulah dia pergi ke klinik. Dia memang baik, ramah dan banyak membantu saya,” katanya.
Sementara itu, abang sulung mangsa yang merupakan pegawai polis, Inspektor S Saravanan berkata, kali terakhir mereka bertemu kira-kira dua minggu lalu sempena Thaipusam.
Beliau yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa pulang ke kediaman mereka di Kampung Harewood sebelum upacara terakhir dijalankan mengikut adat pada Rabu.
“Saya sangat rapat dengan ibu kerana saya anak sulung. Begitu juga dengan adik saya… dia adik bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pemandu kenderaan Toyota Hilux berusia 27 tahun yang terlibat dalam nahas tersebut didapati positif dadah jenis tetrahidrokannabinol (THC).
Siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.