Sungai Perak menyusut, muncul beting pasir

Iklan
Jaringan Sungai Perak yang kini tertimbus pasir di Tanjung Belanja, Parit sebelum ini mempunyai kedalaman sekitar empat hingga lima meter. Gambar kecil: Zakaria (kiri), Zulkifly

PARIT - Jika Pulau Pangkor terkenal dengan fenomena dipanggil ‘laut terbelah’, situasi hampir sama kini berlaku di beberapa lokasi sepanjang Sungai Perak apabila penyusutan paras air mendadak menampakkan beting pasir luas.

Keadaan itu didorong cuaca panas dan kering yang melanda sejak Disember lalu, sekali gus mengubah landskap sungai yang lazimnya dalam dan berarus deras.

Iklan
Iklan

Tinjauan pada Sabtu di Tanjung Belanja serta kawasan tumpuan awam Padang Koba, Teluk Bakong mendapati paras air sungai surut ketara sehingga beting pasir bukan sahaja kelihatan jelas, malah boleh dilalui pejalan kaki dan kenderaan ringan.

Di Tanjung Belanja, kanak-kanak boleh bermain di kawasan terbuka bekas alur sungai yang kini bertukar menjadi dataran pasir keras dengan beberapa individu dilihat memancing di tebing sungai.

Iklan

Keadaan lebih ketara di Padang Koba apabila sebahagian besar kawasan sungai menjadi kering sehingga boleh dilalui motosikal. Turut kelihatan individu menjalankan aktiviti memburu logam.

Paras air sungai surut dengan ketara di Padang Koba, Teluk Bakong membolehkan individu menjalankan aktiviti memburu logam.

Penduduk Kampung Simpang Tiga, Zakaria Mohamad, 60, menyifatkan, keadaan tersebut antara yang terburuk, walaupun fenomena air surut biasanya berlaku setiap tahun.

Iklan

Menurutnya, paras air Sungai Perak mula menyusut dengan ketara sekitar tiga minggu lalu sehingga tompokan pasir besar muncul di sepanjang sungai.

"Selama ini kalau kering pun setakat paras tapak kaki sahaja, tidak sampai satu sungai nampak pasir. Tahun ini paling teruk, orang kampung pun tak sangka sebab sungai ini memang dalam, terutama di bahagian tepi," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti memancing, malah memberi kesan kepada hasil tangkapan ikan yang semakin berkurangan.

"Biasanya petang-petang ramai orang memancing, sekarang dah kurang. Ikan ada, tetapi tak menentu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zulkifly Uda Ahmad, 63, dari Teluk Bakong berkata, paras air Sungai Perak yang surut membolehkan orang ramai melintas dari satu tebing ke tebing yang lain.

Katanya, keadaan sedemikian jarang berlaku dan jelas menunjukkan kesan kemarau yang lebih panjang berbanding kebiasaan.

"Dulu air sampai ke tebing, sekarang musim kemarau air dah jauh ke tengah. Tak sangka boleh jadi macam ni sampai orang boleh lintas sungai. Beting pasir pun dah keras, motosikal pun boleh lalu," katanya.

Muhamad Shahrul mengakui, penyusutan paras air Sungai Perak memberi kesan kemerosotan hasil ikan sehingga 60 peratus kepada komuniti nelayan di daerah Perak Tengah.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Nelayan (MyKP) Kampung Teluk Perang, Muhamad Shahrul Buari berkata, penyusutan paras air Sungai Perak memberi kesan kemerosotan hasil ikan sehingga 60 peratus kepada komuniti nelayan di daerah Perak Tengah.

Ujarnya, sedangkan pada Februari kebiasaannya musim ikan bersisik bersaiz besar seperti temoleh, terubuk dan kelabau yang memberi pulangan lumayan kepada komuniti itu.

"Ikan-ikan besar ini perlukan air dalam untuk mudik, jadi bila air cetek, ia tak naik.

"Di Tanjung Belanja, keadaan sekarang dah tinggal satu lorong air sahaja. Sebelum ini ada dua lorong dengan satu pulau di tengah.

"Kalau bukan kerana aktiviti pam pasir yang buat satu lorong itu kekal dalam, besar kemungkinan laluan air akan tertutup sepenuhnya," katanya.

Beliau yang juga peraih hasil tangkapan sungai berkata, kawasan yang kini tertimbus pasir sebelum ini mempunyai kedalaman sekitar empat hingga lima meter, menyebabkan nelayan terpaksa mencari alur sungai yang masih dalam untuk menangkap ikan.

"Dulu turun dari pagi sampai petang masih ada hasil, sekarang turun siang langsung kosong. Sebab itu mereka tukar turun malam," katanya.

Muhamad Shahrul mencadangkan pembenihan awan dilaksanakan segera sebagai langkah meningkatkan paras air sungai, selain berharap pengurusan pelepasan air empangan dapat diberi perhatian.

"Keadaan ini dimaklumkan mungkin berlarutan sampai Mac.

"Komuniti nelayan juga cuba membantu antara satu sama lain dengan membeli hasil tangkapan kecil pada harga lebih tinggi bagi memastikan nelayan terus bertahan," katanya.