IPOH – Kerajaan Perak menegaskan situasi penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan tiada penularan melibatkan kes seperti dilaporkan di Johor setakat ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sentiasa memantau perkembangan semasa penyakit berjangkit itu dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Menurutnya, sehingga minggu epidemiologi keempat pada Januari 2026, sebanyak 100 kes tibi kumulatif dilaporkan di Perak dan kesemua pesakit sedang menerima rawatan.
"JKN Perak juga mengambil maklum kenyataan media JKN Johor bertarikh 5 Februari 2026 dan setakat ini, tiada kaitan antara kes tibi di Kota Tinggi dengan mana-mana individu di Perak.
"Selain itu, tiada kes kematian akibat tibi direkodkan di Perak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital Pantai Ipoh di sini, pada Sabtu.
Sivanesan menjelaskan, tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan, khususnya ketika batuk, bersin atau bercakap.
Antara gejala lazim penyakit itu ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan, penurunan berat badan serta batuk berdarah bagi kes yang serius.
"Individu yang mengalami gejala berkenaan disaran menjalani pemeriksaan segera di fasiliti kesihatan berhampiran, termasuk klinik kesihatan, bagi mendapatkan rawatan awal," katanya.
Menurut Sivanesan, golongan berisiko tinggi dijangkiti tibi termasuk individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Tibi, penghidap HIV, pesakit buah pinggang kronik, pesakit penyakit pulmonari kronik serta perokok aktif.
Tambah beliau, Tibi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi membolehkan pengesanan kontak rapat dilakukan serta memutuskan rantaian jangkitan.
Beliau memaklumkan bahawa semua 89 klinik kesihatan serta hospital di Perak telah dimaklumkan supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga, selain kemudahan pengasingan pesakit turut disediakan sekiranya perlu.