PEKAN - Kadar zakat fitrah di Pahang ditetapkan pada kadar RM8, RM14 dan RM21 seorang bagi Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu telah diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
“Kadar minimum RM8 dikenakan bagi yang menggunakan beras putih tempatan. Bagi beras import atau setara, kadar RM14, manakala beras basmati atau seumpamanya RM21.
"Umat Islam di negeri ini boleh menunaikan bayaran zakat fitrah mereka bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2026 di Pejabat MUIP di sini pada Isnin.
Ahmad Hairi berkata, seramai 901 amil telah ditauliahkan bagi melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan beliau menasihatkan umat Islam menunaikan zakat melalui amil yang sah.
Menurutnya, MUIP juga menyediakan aplikasi Ez Amil bagi memudahkan urusan kutipan dan penerimaan bayaran zakat fitrah secara lebih sistematik, cekap dan telus.
"Melalui kaedah baharu ini, pembayaran boleh dilakukan secara tunai dan tanpa tunai termasuk penggunaan Kod QR FPX, kad serta perkhidmatan Google Pay dan Apple Pay.
"Selain itu, kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui kaedah FPX menerusi laman sesawang rasmi MUIP, www.muip.gov.my bagi memberi lebih fleksibiliti kepada masyarakat untuk menunaikan zakat fitrah dengan mudah, selamat dan diyakini," katanya.
Beliau menegaskan, mengutip zakat tanpa tauliah atau kebenaran MUIP merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu katanya, sempena Ramadan ini, MUIP akan mengagihkan bantuan lebih RM18.2 juta kepada 34,415 penerima di negeri ini.
"Daripada jumlah itu, RM5.6 juta akan diagihkan untuk bantuan menyambut Ramadan kepada 12,720 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan asnaf, fakir miskin penerima zakat bulanan.
"Lebih RM1.75 juta disediakan untuk sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 706 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.
"Sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM257,700 akan diagihkan kepada 152 maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar," katanya.
Beliau berkata, MUIP juga akan menyediakan RM476,000 untuk sumbangan pengimarahan Ramadan kepada Kampung Orang Asli (KOA) melibatkan 119 surau dan saguhati Imam Terawih Surau KOA kepada 238 penerima.
"Bagi bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri pula, lebih RM9.29 juta akan diagihkan kepada 18,698 KIR dan asnaf fakir miskin dalam kalangan penerima zakat bulanan yang disenaraikan amil serta golongan saudara Muslim," katanya.
Tambahnya, RM920,000 disediakan untuk bantuan tahunan Hari Raya Aidilfitri kepada 1,628 ketua dan ahli isi rumah golongan saudara baharu di negeri ini.