Pemaju perumahan gagal siapkan projek ikut jadual dikenakan tindakan - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy menyerahkan kunci kepada salah seorang penerima pada majlis penyerahan pemilikan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor, pada Jumaat.

KUANTAN – Kerajaan Pahang menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual sehingga menyusahkan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tegas telah pun diambil terhadap beberapa pemaju yang dikenal pasti mengalami masalah kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemantauan rapi kini dilaksanakan secara terus menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

"Jika berlaku kelewatan atau masalah, pemaju akan dipanggil dan kita akan dengar apa perancangan dan pelan mitigasi mereka.

Iklan

"Setakat ini, ada pemaju yang kita sudah ambil tindakan dan kita tidak boleh biarkan begitu sahaja kerana ini melibatkan projek rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan pemilikan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor di sini pada Jumaat.

Iklan

Seramai 86 penerima daripada PR1MA Pahang Batu 6 dan Kampung Hijrah menerima kunci pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Datuk Ahmad Islanizam A. Halim; Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zalina Zulkipli serta pemaju.

Wan Rosdy menjelaskan, setiap aduan atau masalah akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh exco perumahan bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, antara alasan yang sering diberikan oleh pemaju adalah faktor bencana yang kerap dibangkitkan.

"Kita dengar dahulu masalah mereka, ada yang kata sebab faktor banjir dan sebagainya. Namun, kita akan lihat pelan perancangan mereka seterusnya," ujar beliau lagi.

Menjawab mengenai pemilikan rumah, Wan Rosdy berkata, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini berpeluang memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Jelasnya, usaha ini dilakukan kerana kerajaan negeri sedar harga rumah semasa sangat mahal.

"Jadi, kerajaan negeri menetapkan harga PR1MA Pahang pada kadar RM150,000 sahaja.

"Malah, penjawat awam turut menikmati potongan diskaun 10 peratus bagi membolehkan sebahagian besar daripada mereka mampu membeli kediaman tersebut," katanya.

Tambah Wan Rosdy, bagi pemohon yang mempunyai pendapatan lebih rendah, kerajaan turut menawarkan Rumah Makmur yang dijual pada harga RM80,000 seunit.

Ujarnya, tumpuan turut diberikan kepada golongan yang benar-benar tidak berkemampuan menerusi penyediaan Rumah Rakyat Pahang (RRP).

"Di bawah skim RRP, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peruntukan untuk menyediakan lapan buah rumah di kawasan masing-masing, manakala bagi Ahli Parlimen pula sebanyak sebuah rumah.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan seramai mungkin rakyat Pahang yang belum ada rumah dapat memilikinya," tegas beliau.

Mengulas mengenai kepentingan kestabilan politik, Wan Rosdy berkata, suasana politik yang stabil membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa gangguan isu dan pertikaian politik.

"Maknanya, kita kurangkan 'politiking' ini, kalau berlaku masalah politik, kita perlu membetulkan dan jelaskannya kepada rakyat, yang mengambil banyak masa.

"Jadi bila ada kestabilan politik, pemimpin, wakil rakyat ada masa dan ruang yang banyak untuk memberi tumpuan kepada rakyat. Mereka boleh balik kawasan, boleh bincang macam mana nak bantu rakyat dan sebagainya," jelas beliau lagi.