MUIP lancar inisiatif digital baharu, e-Derma dan Moh Bersedekah

Iklan
Ahmad Hairi diiringi Dr Asmadi (kiri) dan Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Che Samsol Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran Sistem e-Derma dan Sistem Moh Bersedekah, pada Isnin.

PEKAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melancarkan dua inisiatif digital baharu, Sistem e-Derma dan Sistem Moh Bersedekah bagi memperkukuh pengurusan sumbangan serta memperluas akses masyarakat kepada amalan kebajikan secara lebih sistematik dan telus.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, Sistem e-Derma merupakan platform rasmi yang diperkenalkan bagi permohonan kebenaran menjalankan pungutan khairat atau derma di Pahang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem itu terbuka kepada mana-mana organisasi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) selaras dengan peruntukan Seksyen 86, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991.

"Di bawah peruntukan itu, pihak majlis diberi kuasa untuk meluluskan dan mengawal selia sebarang pungutan khairat bagi tujuan agama dan kebajikan orang Islam.

Iklan

"Melalui pelaksanaan e-Derma ini, proses permohonan, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan secara lebih teratur, telus dan berakauntabiliti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran dua inisiatif digital baharu itu sempena sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2026 di Pejabat MUIP, di sini, pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad Hairi berkata, Sistem Moh Bersedekah diperkenalkan bagi membuka ruang kepada masyarakat termasuk orang bukan Islam menyalurkan sumbangan kepada program-program kebajikan yang diuruskan MUIP.

Katanya, sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada lima program utama.

"Antaranya program pendidikan termasuk bantuan yuran, kelengkapan pembelajaran dan pembangunan ilmu.

"Sumbangan juga disalurkan kepada program kesihatan melalui bantuan rawatan perubatan, penyediaan peralatan kesihatan dan sokongan kepada pesakit yang memerlukan dan bantuan kepada golongan tidak berkemampuan melalui program kebajikan dan sokongan asas," katanya.

Menurutnya lagi, penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan awam termasuk masjid, surau serta tanah perkuburan demi manfaat komuniti antara program utama penyaluran sumbangan itu.

"Pada masa sama, ia turut disalurkan untuk program bencana dan kecemasan," katanya.