Sultan Pahang perkenan UnIPSAS dijenamakan sebagai Universiti Al-Quran

Iklan
Al-Sultan Abdullah

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Universiti Al-Quran, sekali gus menjadikan institusi itu pertama di negara ini.

Baginda bertitah, usaha memartabatkan agama Islam di Pahang terus diperkukuhkan melalui penubuhan universiti berteraskan pengajian al-Quran sebagai teras utama.

Iklan
Iklan

"Penjenamaan semula universiti itu bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.

"Ia ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang di sini pada Jumaat.

Iklan

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Universiti Al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya tidak lama lagi bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering mengalirkan kefahaman al-Quran ke segenap penjuru.

Titah baginda, Universiti Al-Quran itu dijangka melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman.

Iklan

"Penubuhan universiti berkenaan juga diyakini mampu mengangkat Pahang Darul Makmur sebagai negeri ilmu yang diberkati dan dirahmati," titah baginda.