KUALA KEDAH – Cubaan menyeludup benih kerang bernilai RM34,500 ke negara jiran gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, pada Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar jam 1.40 petang hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis bersama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.
Menurutnya, bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu tersebut dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang tersebut.
Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM132,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta Akta Imigresen 1959/63 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Zon Maritim Kuala Kedah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara serta menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau jenayah di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579 untuk tindakan segera.