JOHOR BAHRU – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penularan video kejadian buli membabitkan sekumpulan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesan satu rakaman tular di media sosial yang mendakwa berlaku perbuatan buli di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun katanya, setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan rakaman yang tular serta mengesan individu-individu yang terlibat.
“Polis juga sedang berusaha mengesan saksi yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, Raub meminta mangsa, waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa buli.
Rakaman CCTV berdurasi 23 saat itu memaparkan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.39 tengah malam, melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak yang disyaki melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa, yang juga dipercayai seorang kanak-kanak lelaki.
Menerusi rakaman tersebut, kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang berada dalam keadaan terbaring dengan tangan seolah-olah terikat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada kanak-kanak berkenaan dilihat menghampiri mangsa sebelum mengangkatnya, manakala seorang lagi individu dipercayai bertindak sebagai pemantau ketika kejadian.