Ainul Syeefa hasilkan hampir 300 lukisan

Iklan
Kisah perjalanan hidup Ainul Syeefa menjadi inspirasi kepada orang lain.

PENDANG - Sesetengah individu melihat Ainul Syeefa Zamrol, 15, sebagai seorang yang mempunyai kekurangan, namun remaja autistik itu membuktikan bakat seni mampu menjadi jambatan merentasi segala batasan.

Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ) itu menjadikan lukisan sebagai medium utama untuk meluahkan dunia dalaman, imaginasi serta pemerhatiannya terhadap persekitaran.

Iklan
Iklan

Minat Ainul Syeefa mula terserlah sejak berusia tujuh tahun apabila keluarganya menyedari keistimewaan tersebut ketika berkunjung ke sebuah galeri seni di Alor Setar. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan terus aktif berkarya sehingga kini hampir 300 hasil lukisan dihasilkan merangkumi pelbagai medium seperti kertas, kanvas dan akrilik.

Ainul Syeefa gemar melukis watak puteri dalam cerita dongeng seperti Puteri Gunung Ledang, Puteri Santubong dan Mahsuri.

Iklan

Ibunya, Suraya Abdul Rahman, 54, berkata, lukisan anak bongsu daripada empat beradik itu bukan sekadar karya seni, sebaliknya berfungsi sebagai ruang ekspresi emosi dan terapi buat golongan istimewa. Menurutnya, Ainul Syeefa biasanya melukis pada waktu malam berdasarkan imaginasi yang tercetus daripada bahan bacaan serta tontonan di YouTube.

“Sebagai contoh, sekiranya dia membaca kisah Puteri Lindungan Bulan, dia akan menghasilkan lukisan puteri dalam karakter kartun,” katanya.

Iklan

Suraya yang juga guru Matematik berkata, setiap lukisan mengambil masa antara dua minggu hingga dua bulan untuk disiapkan, bergantung kepada saiz kanvas. Ketika melukis, Ainul Syeefa tidak boleh diganggu dan sekiranya ingin menegur, ia perlu dilakukan dengan cara yang lembut.

“Kalau dua tahun lepas, hasil karya sekitar 200, kini sudah hampir 300. Dari yang kecil-kecil hingga yang terbaru,” katanya sambil mengakui pengorbanan masa, tenaga dan kewangan sekeluarga tidak sia-sia apabila bakat anaknya semakin menyerlah.

Jamkhuriyati (kanan) menunjukkan karikaturnya yang dilukis oleh Ainul Syeefa.

Antarabangsa

Bakat luar biasa Ainul Syeefa turut mendapat perhatian antarabangsa apabila karyanya dipamerkan di negara seperti Perancis, Indonesia, Thailand dan Jepun. Malah, sebuah syarikat korporat turut mengabadikan hasil seninya dalam kalendar serta poskad korporat selama tiga tahun berturut-turut.

Mengulas minatnya, Ainul Syeefa gemar melukis watak puteri dalam cerita dongeng dan legenda seperti Puteri Gunung Ledang, Puteri Santubong, Mahsuri serta Puteri Lindungan Bulan, selain merancang menghasilkan karya Dang Anum memakan buah nangka.

Sementara itu, Pengetua SMoKBJ, Jamkhuriyati Hussain berkata, pihak sekolah menghargai pencapaian tersebut dengan merancang penubuhan Galeri Ainul Syeefa bagi menyimpan dan mempamerkan ratusan karya pelajar berkenaan sebagai simbol perjalanan bakat serta sumber inspirasi kepada pelajar lain.

“Insya-ALLAH sebelum Mac ini galeri berkenaan akan direalisasikan dan sebuah blok bangunan kosong akan dihiasi mural menggunakan hasil lukisan Ainul Syeefa,” kata beliau.

 

 

Ainul Syeefgemar melukis watak puteri dalam cerita dongeng seperti Puteri Gunung Ledang, Puteri Santubong dan Mahsuri.

INFO

Autisme & Keistimewaan ‘Ajaib’

-Autisme ialah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi komunikasi dan interaksi sosial.

-Individu autistik berada dalam spektrum berbeza dengan tahap keupayaan tidak sama.

-Sesetengahnya memiliki fokus mendalam (hyperfocus) terhadap minat tertentu.

-Fokus ini membolehkan kemahiran seperti seni, muzik atau bahasa diasah berulang kali.

-Keupayaan memproses bunyi dan visual secara terperinci membuatkan bakat mereka kelihatan ‘ajaib’.