STAM 2025: Solat sunat duha rahsia Putera Haziq Akmal peroleh Mumtaz Sofi, 10A

Iklan
Putera Haziq bersama ibunya, Noorain Hussain (kiri) selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM 2025 di Maktab Mahmud pada Khamis.

ALOR SETAR - Solat sunat duha rahsia amalan harian pelajar yang juga imam sebuah masjid memperoleh Mumtaz Sofi (amat cemerlang) dalam STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) 2025.

Putera Haziq Akmal Mohd Shahrul Akmal, 19, dari Maktab Mahmud mencatat keputusan semua A dalam 10 mata pelajaran STAM yang diambil.

Iklan
Iklan

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, solat duha menjadi antara amalan harian membantunya melancarkan setiap urusan.

"Saya berusaha menjaga solat termasuk mengamalkan solat sunat duha dan solat sunat setiap hari.

Iklan

"Dalam masa sama, saya menjaga hubungan dengan Allah dan manusia serta mengelakkan diri daripada menyakiti orang di sekeliling," katanya.

Beliau yang berasal dari Anak Bukit berkata, selain itu, kejayaan dicapai adalah hasil usaha berterusan serta disiplin tinggi sepanjang tempoh pembelajaran.

Iklan

"Belajar secara konsisten dan sentiasa mengulang kaji pelajaran selepas kelas tanpa menunggu saat akhir.

"Saya juga cuba memastikan apa yang dipelajari benar-benar difahami selain fokus dalam kelas," katanya.

Putera Haziq Akmal berkata, penglibatannya dalam aktiviti masjid bermula sejak di bangku sekolah dan diteruskan sehingga kini.

Katanya, dia juga dijemput untuk menjadi imam solat tarawih di bulan Ramadan.

"Ogos ini saya berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir dalam bidang Fiqah.

"Hasrat saya menjadi ustaz dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat...Itu cita-cita yang saya pegang sejak awal," katanya.

Sementara itu, Pengetua Maktab Mahmud, Mohd Shauki Mohd Kasim berkata, dua pelajar sekolah itu memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dengan semua A dalam 10 mata pelajaran diambil.

"Selain Putera Haziq Akmal, seorang lagi pelajar dari Pendang, Wan Nur Tayyibah Wan Mohd Junid turut mencapai keputusan cemerlang itu.

"Secara keseluruhan, seramai 20 calon memperoleh Mumtaz dan GPS sekolah meningkat kepada 2.35 berbanding 2.54 tahun lalu," katanya.