LANGKAWI – Lawatan kerja staf Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ke Kedah dan Langkawi bukan sekadar tertumpu kepada penandaarasan profesional, sebaliknya turut dimanfaatkan bagi melaksanakan misi kemanusiaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), BakulKasih@Masscomm.
Bersempena lawatan penandaarasan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah dan Langkawi FM, warga FKPM mengambil peluang turun padang menyantuni komuniti setempat dengan menyampaikan sumbangan bakul keperluan asas kepada golongan memerlukan di sekitar Langkawi.
Program tersebut dilaksanakan hasil sumbangan dan keprihatinan staf FKPM bersama alumni fakulti berkenaan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta jaringan berterusan antara fakulti dan bekas pelajar dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.
Sebanyak 10 keluarga daripada Kampung Bendang Baru, Kampung Kelibang dan Kampung Sungai Menghulu menerima sumbangan berkenaan, melibatkan warga emas uzur, anak yatim serta ibu tunggal yang berdepan cabaran kehidupan seharian.
Timbalan Pendaftar FKPM, Noor Afzan Zakaria berkata, program BakulKasih@Masscomm bukan sekadar medium penyampaian bantuan, malah berperanan sebagai wadah memupuk nilai empati dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga universiti.
“Apabila sumbangan digerakkan bersama oleh staf dan alumni, ia membawa mesej yang lebih besar bahawa tanggungjawab sosial adalah usaha kolektif. Nilai kemanusiaan inilah yang ingin kami semai dan wariskan kepada warga FKPM,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama wakil penduduk tempatan, Nor Saidi Nayan yang membantu mengenal pasti keluarga sasaran bagi memastikan sumbangan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Menurut Noor Afzan, pelaksanaan BakulKasih@Masscomm mencerminkan penghayatan nilai teras ESI (Excellent, Synergy, Integrity) dan iDART (Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin, Tanggungjawab), selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dari sudut profesionalisme, malah memiliki keprihatinan sosial dan jiwa penyayang.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak, termasuk alumni dan institusi pendidikan, untuk terus berganding bahu melaksanakan program kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.