SEREMBAN - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) melalui kerjasama strategik antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memastikan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan agenda bumiputera itu bukan hanya digerakkan oleh MARA semata-mata, sebaliknya turut melibatkan jabatan dan agensi lain di bawah kementerian.
"MARA umpamanya bekerjasama dengan TERAJU memperkasakan PuTERA35 yang mana menerusi pelan ini daripada tahun 2025 hingga 2035, kita telah menentukan 132 inisiatif untuk bumiputera dalam bidang ekonomi khususnya.
"Pencapaian setakat 31 Disember lepas telah berada pada tahap 44.5 peratus, ertinya kita mempunyai tempoh kira-kira sembilan tahun lagi bagi mencapai 100 peratus," katanya ditemui pemberita pada Program 'Road to Ramadan' Negeri Sembilan di Masjid Kariah Pantai di sini pada Sabtu.
Menurutnya, sebagai pemantauan, bahagian pemerkasaan agenda bumiputera di setiap kementerian juga diwujudkan dengan melibatkan semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Selain itu ujarnya, kerajaan menyasarkan Lima syarikat bumiputera tersenarai di Bursa Malaysia tahun ini berbanding tiga syarikat tahun lalu.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian serta syarikat GLIC memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan inisiatif berimpak tinggi di bawah PuTERA35.