Carrick rombak peraturan ketat era Ten Hag, Amorim

Iklan
CARRICK

PENGENDALI sementara Manchester United, Michael Carrick melakukan perubahan drastik terhadap jadual latihan pasukan sejak kembali ke Old Trafford, bulan lalu.

Rombakan rutin mingguan pemain itu menandakan perbezaan ketara berbanding pendekatan yang diamalkan oleh dua pengurus terdahulu, Erik ten Hag dan Ruben Amorim.

Iklan
Iklan

Carrick mengambil alih tugas daripada Darren Fletcher pada Januari lalu susulan pemecatan Amorim sebagai pengurus.

Menurut laporan The Sun, Carrick kini menetapkan supaya para pemain diberikan cuti rehat sehari selepas perlawanan.

Iklan

Pendekatan ini nyata berbeza dengan era Ten Hag dan Amorim, di mana kedua-duanya mewajibkan sesi pemulihan diadakan sehari selepas setiap aksi pasukan utama. Malah, pemain yang beraksi kurang daripada 45 minit pada hari perlawanan akan diarahkan menjalani sesi latihan penuh.

Di bawah Amorim sebelum ini, skuad United kebiasaannya hanya bercuti pada hari Selasa, memandangkan jadual perlawanan yang agak longgar tanpa aksi Eropah dan penyingkiran awal daripada Piala Liga.

Iklan

Namun di bawah rejim baharu Carrick, sesi pemulihan kini hanya dilakukan apabila pemain kembali ke pusat latihan Carrington dua hari selepas perlawanan.

Selain itu, sesi latihan turut dipendekkan tetapi intensitinya ditingkatkan. Barisan kejurulatihan Carrick juga dilaporkan mengubah fokus dengan memberi tumpuan lebih kepada gerak kerja individu bagi pemain-pemain tertentu.

Carrick memulakan tugasnya dengan cemerlang apabila mencatatkan rekod kemenangan bersih dalam tiga perlawanan pertamanya menentang gergasi liga iaitu Manchester City, Arsenal, dan Fulham.

Deretan keputusan positif itu berjaya melonjakkan The Red Devils ke tangga keempat liga, sekali gus menghidupkan semula peluang untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara.

Untuk rekod, United tidak beraksi dalam pertandingan elit Eropah itu sejak tersingkir di peringkat kumpulan di bawah kendalian Ten Hag pada 2023. Malah, mereka terlepas sebarang aksi Eropah musim ini selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 dan tewas dalam final Liga Europa.