BINTANG Muay Thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kembali ke gelanggang ONE Championship dengan keyakinan baharu apabila bersedia memperagakan kematangan teknik dan kepelbagaian 'senjata' dalam pertemuan menentang petarung Myanmar, Ye Yint Naung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand malam ini.
Petarung berusia 19 tahun itu mengakui fasa terbaharu dalam kariernya menyaksikan perubahan ketara, hasil latihan intensif di bawah bimbingan dua nama besar Muay Thai dunia, Superbon Singha Mawynn dan Nong-O Hama.
Fokusnya kini bukan hanya kepada kuasa tumbukan tetapi juga kefahaman teknikal, pertahanan lebih tersusun serta kawalan tempo perlawanan.
Johan yang mesra disapa Jojo hadir ke ONE Friday Fights 141 dengan momentum positif selepas mencatat kemenangan technical knockout (TKO) pusingan pertama ke atas Zakaria El Jamari, sekali gus mengembalikan keyakinan selepas melalui permulaan musim 2025 yang mencabar.
Dua kekalahan menerusi keputusan juri sebelum ini tidak menggugat kepercayaannya terhadap diri sendiri, sebaliknya menjadi pemangkin kepada proses pembelajaran dan peningkatan menyeluruh.
Johan yang mewakili Rentap Muaythai Gym dan Superbon Training Camp percaya setiap perlawanan memberinya ruang untuk berkembang, sama ada dalam kemenangan atau kekalahan.
Keyakinan itu diterjemahkan dalam pendekatan lebih tenang dan berdisiplin ketika beraksi, tanpa mengorbankan naluri memburu penamat.
Menjelang pertemuan dengan Ye Yint Naung, Johan melihat pentas Lumpinee sebagai ruang untuk menunjukkan perbezaan tahap sebenar, sambil kekal menghormati lawan yang bakal membuat penampilan pertama di pentas besar ONE Championship.
“Saya gembira melihat kehadirannya di ONE Championship tetapi saya mahu tunjukkan bahawa tahap di liga utama ini berbeza.
“Saya lapar untuk jadi lebih baik dan saya yakin keinginan saya lebih besar daripadanya.
“Apa pun, setiap perlawanan saya sentiasa mencari aksi penamat menarik, tapi kali ini saya mahu pamer lebih banyak kemahiran sebelum mencari KO (knockout).
“Saya mahu tunjukkan apa yang telah saya pelajari daripada Superborn dan Nong-O, jadi saya akan lebih tenang dan tidak terburu-buru masuk ke jarak serangan,” ujar Johan.
Pendekatan lebih matang itu jelas berbeza berbanding awal kariernya yang sinonim dengan serangan agresif dan penamat pantas.
Kini, kesabaran dan ketepatan menjadi keutamaan dengan kepercayaan bahawa peluang KO akan hadir pada masa yang tepat.
Selain Johan, pentas ONE Friday Fights 141 turut menampilkan dua lagi wakil Malaysia iaitu Adam Rakib menentang petarung Maghribi Walid Snoussi dalam kelas strawweight Muay Thai.
Adam, 17, merupakan adik kepada Aliff Rakib yang diberikan peluang merebut kejuaraan dunia strawweight selepas menewaskan Ramadan Ondash dari Lebanon pada Disember lalu.
Wan Muhammad Sabri Wan Zuki atau Sabri Thaivisix, 23, pula berdepan petarung Jepun, Ramu Araya dalam kelas flyweight Muay Thai.
Ini adalah kemunculan pertama Sabri Thaivisix di pentas ONE Championship.