Ee Wei mohon rakyat Malaysia bersatu

Iklan
Toh Ee Wei. Foto Bernama

PEMAIN beregu campuran nombor satu negara, Toh Ee Wei memohon rakyat Malaysia bersatu dalam menyokong perjuangan pemain badminton negara pada setiap kejohanan disertai mereka.

Ee Wei berkata, mereka sememangnya bersedia berdepan kritikan sekiranya menampilkan prestasi hambar namun bukan hinaan daripada orang ramai terutamanya di media sosial.

Iklan
Iklan

"Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersatu, kita pun sudah bekerja keras dan sangat berbangga bermain untuk negara. Kalah menang itu perkara biasa namun yang penting sikap dan apa yang kami ada untuk berjuang dalam setiap perlawanan.

"Sudah tentu, saya sedih tetapi sebagai atlet, saya perlu kuatkan hati hadapi semua masalah ini. Kritikan itu biasa, jika tiada kritikan anda tidak boleh perbaiki prestasi namun jangan sampai tahap hina orang, itu yang buat saya takut,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan, ibu dan bapanya turut menerima kata-kata kurang menyenangkan ekoran prestasi kurang memuaskan ketika beraksi dalam kejohanan-kejohanan terdahulu bersama pasangan Chen Tang Jie.

Bagaimanapun, juara beregu campuran dunia 2025 itu berjaya menutup mulut pengkritik selepas berjaya memenangi Masters Indonesia 2026 di Jakarta bulan lepas dengan menumpaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark, 15-21, 21-17, 21-11.

Iklan

Di sebalik kecaman diterimanya, Ee Wei tetap terharu apabila masih menerima sokongan padu daripada peminatnya sekali gus meniup semangat untuk terus berjuang demi negara. - Bernama