Belum ada jaminan pulang ke rumah

Iklan
Abdul Hamid menunjukkan keadaan cerun runtuh menjejaskan empat rumah termasuk rumahnya di Kota Perdana, Pekan.

PEKAN – Kejadian cerun runtuh ekoran hujan lebat berterusan pada 17 Disember tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada empat keluarga di Kampung Kota Perdana, di sini.

Runtuhan cerun dianggarkan setinggi sembilan meter dan sepanjang kira-kira 100 meter itu merosakkan bahagian belakang rumah termasuk dapur dan bilik air, sekali gus memaksa keluarga terbabit berpindah atas arahan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Selepas lebih sebulan kejadian itu berlaku, keluarga terbabit masih buntu memikirkan masa depan kerana belum ada jaminan dapat kembali ke rumah masing-masing atau sebaliknya.

Salah seorang mangsa, Abdul Hamid Awang, 77, masih menaruh harapan untuk kembali tinggal di rumah yang didiaminya sejak tahun 1996.

Iklan

Menurutnya, jika diberi pilihan, dia ingin kekal di rumah berkenaan sekiranya pihak kerajaan bersedia membaiki dan mengukuhkan semula struktur cerun yang runtuh.

“Sayang hendak ditinggalkan kerana inilah satu-satunya rumah yang dimiliki, dibeli hasil tabungan selama 14 tahun bekerja di sebuah estet di Muadzam Shah,” katanya.

Iklan

Berasal dari Taiping, Perak sebelum berhijrah ke Pahang sekitar tahun 1986, Abdul Hamid mengakui tidak pernah menjangka kejadian itu boleh berlaku sehingga berkemungkinan kehilangan rumah yang dibeli 29 tahun lalu.

Badariah menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang rosak dan sebahagian lagi telah menyembah bumi.

“Ada yang kata nilai tanah dan rumah ini kini hampir RM100,000, tetapi dalam keadaan sekarang, anggaran harga itu tidak membawa makna lagi.

“Hendak bina rumah baharu pun tidak mampu kecuali berharap ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah yang kami hadapi,” katanya.

Abdul Hamid yang sudah tidak bekerja kini terpaksa tinggal di rumah sewa bersama isterinya, Sabariah Karia, 74.

“Saya dan keluarga juga akur untuk berpindah sekiranya ada bantuan rumah disediakan oleh mana-mana pihak di tapak baharu kelak,” katanya yang sentiasa menjenguk rumah yang ditinggalkan itu.

Menceritakan kembali kejadian tersebut, Sabariah berkata, pada hari kejadian hujan turun dengan sangat lebat dan dia terdengar bunyi seakan-akan atap zink dipijak, yang pada awalnya disangka kucing atau monyet.

“Saya mengambil kayu untuk menjolok zink itu bagi menghalau ‘haiwan’ berkenaan, namun semakin dijolok, bunyi itu semakin kuat.

“Sehinggalah saya dikejutkan dengan jeritan jiran sebelah rumah yang memberitahu rumah hendak roboh kerana cerun runtuh,” katanya.

Sabariah yang masih trauma dan sedih dengan kejadian itu berkata, sebahagian barangan dalam rumah terpaksa ditinggalkan manakala selebihnya dibawa ke rumah sewa.

“Rumah inilah satu-satunya harta yang kami ada. Selepas membeli rumah ini, kami membesarkannya sedikit demi sedikit untuk keselesaan keluarga menggunakan wang simpanan hasil berniaga di kantin sekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Badariah Abdul Wahab, 73, berkata, sebahagian struktur belakang rumah yang didiaminya bersama suami, Ramli Isa, 82, musnah dalam peristiwa tersebut.

Katanya, kejadian cerun runtuh itu merupakan kali ketiga dialaminya sejak 2018.

“Pada kejadian tahun 2018 dan 2022 lalu, ia tidak menyebabkan kerosakan serius pada binaan rumah.

“Bagi mencegah runtuhan berulang, kami membina tembok konkrit dengan kos kira-kira RM50,000 secara berperingkat, namun usaha itu tidak berhasil apabila episod runtuhan berulang sehingga menjejaskan bahagian rumah,” jelas wanita warga emas yang juga berasal dari Taiping dan bekas pekerja estet itu.

Badariah yang kini tinggal menyewa di sebuah inap desa milik penduduk mengakui telah berputus asa untuk menyelamatkan rumahnya.

“Kami sudah tidak bekerja dan tiada pendapatan atau sumber kewangan untuk membaiki cerun runtuh ini atau membina rumah lain.

“Buat masa sekarang, kami menunggu sekiranya ada bantuan daripada kerajaan atau pihak-pihak yang prihatin,” katanya.

Selain rumahnya, rumah salah seorang anaknya yang terletak bersebelahan turut terjejas dan diarahkan berpindah.

Rayu diberi penempatan kekal

Nasib empat keluarga mangsa kejadian cerun runtuh di Kampung Kota Perdana, di sini, telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kepimpinan peringkat kampung dan wakil rakyat kawasan terbabit.

Hamida Abdul Hamid, 50, yang juga ahli keluarga kepada mangsa terlibat berkata, selepas diarahkan berpindah, ibu bapanya, Abdul Hamid dan Sabariah, serta dua keluarga lain ditempatkan sementara di inap desa milik penduduk yang disediakan oleh pihak Masjid Kampung Kota Perdana selama sebulan.

Abdul Hamid menunjukkan keadaan ruang dapur rumahnya yang rosak.

“Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, telah turun meninjau keadaan rumah-rumah yang terjejas.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, belum ada sebarang perkembangan.

"Justeru, kami berharap tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi ini selain bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mangsa,” katanya.

Mewakili keluarganya, Hamidah berharap penjelasan segera diberikan berhubung tindakan yang bakal diambil diambil sama ada pihak kerajaan akan membantu membaiki struktur cerun atau mempertimbangkan mangsa dipindahkan ke tapak baharu.

“Kami menerima apa jua keputusan, cuma jika ada tapak dan rumah baharu disediakan kelak, harapnya di sekitar Kota Perdana ini juga,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap pihak kerajaan mempertimbangkan bantuan sewa rumah kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.