Adam tak perlu lagi balut usus guna beg plastik, MUIP bekalkan beg stoma

Iklan
Asmadi memaklumkan, beg stoma untuk Mohd Adam akan disalurkan melalui Klinik Desa Kota Gelanggi 2.

KUANTAN – Selepas setahun menanggung derita apabila terpaksa menggunakan beg plastik sebagai ganti beg stoma akibat kekangan kewangan, nasib Mohd Adam Mat Noh, 7, akhirnya mendapat perhatian apabila bantuan peralatan perubatan itu disalurkan untuk kegunaannya.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan, bantuan beg stoma bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir itu telah diselaraskan bagi meringankan beban keluarganya.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peralatan perubatan berkenaan akan disalurkan melalui Klinik Desa Kota Gelanggi 2 bagi memudahkan urusan keluarga terbabit.

“Kita akan menghantar bekalan ke klinik berkenaan supaya bapa Adam boleh mengambil peralatan tersebut untuk kegunaan anaknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, beliau meminta bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Noh Mohamed, memastikan Adam dibawa menjalani rawatan susulan dengan pakar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menurutnya, rawatan pakar amat penting bagi memantau tahap kesihatan Adam, lebih-lebih lagi apabila sebelum ini terdapat laporan kegagalan menghadiri beberapa janji temu hospital yang telah diaturkan.

Iklan

“Selain bekalan beg stoma, rawatan susulan oleh pakar amat penting untuk proses pemulihan. Kita berharap selepas ini tiada lagi isu gagal hadir supaya keadaan kesihatan Adam dapat dipantau secara rapi,” katanya.

Untuk rekod, Mat Noh merupakan penerima zakat aktif MUIP sejak 2015 hingga tahun lalu, dengan pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk bantuan permohonan am, bantuan bencana atau rawatan serta bantuan kemudahan asas secara berkala.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kisah menyayat hati penduduk Felda Kota Gelanggi Empat itu yang terpaksa menggunakan karung plastik sebagai ganti beg stoma sejak setahun lalu kerana tidak mampu membeli peralatan berkenaan, sekali gus menyebabkan Adam tidak dapat bersekolah.

Penyaluran bantuan itu diharap dapat mengakhiri penderitaan kanak-kanak berkenaan serta memberi ruang untuknya menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti rakan seusia.