KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pelaksanaan Istiadat Menjunjung Duli mampu menghidupkan semula warisan tamadun istiadat Melayu yang menjadi asas kepada sistem Raja Melayu sejak ratusan tahun lalu.
Titah Paduka Baginda, sistem pemerintahan beraja yang telah lama bertapak di bumi Pahang bukan sekadar 10 atau 100 tahun, malah telah menjangkau usia 556 tahun pada tahun ini.
“Kesultanan Pahang bermula pada tahun 1470 bersamaan 891 Masihi dengan Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan Pahang yang pertama, manakala saya merupakan Sultan Pahang ke-34 sejak penubuhan institusi tersebut,” titah Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Selasa.
Melalui hantaran itu, Baginda bertitah menjelaskan bahawa suatu masa dahulu istiadat berkenaan merupakan satu upacara tradisi apabila orang-orang besar dari seluruh pelosok negeri, khususnya dari daerah-daerah jauh seperti Kuala Lipis dan Jerantut, datang menyembah sultan sebagai tanda taat setia serta penghormatan tertinggi kepada raja yang memerintah.
“Istiadat tersebut turut melibatkan persembahan buah tangan dan adat persembahan sebagaimana yang dapat disaksikan.
“Istiadat ini mencerminkan keunikan dan kehalusan adat istiadat Melayu,” titah Baginda.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pengurniaan Gelaran-Gelaran dan Istiadat Menjunjung Duli Kerabat-Kerabat Bergelar serta Orang-Orang Besar Negeri Pahang Darul Makmur di Istana Abdulaziz, di sini, pada Selasa.
Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Melalui hantaran sama, Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana istiadat berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna, serta merakamkan penghargaan dan rasa terharu terhadap komitmen semua pihak yang terlibat.
Paduka Baginda seterusnya menegaskan bahawa istiadat berkenaan perlu dihargai dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan, berlandaskan hukum syariah, hukum kanun, dan yang paling penting berpaksikan al-Quran dan sunnah sebagai asas pemerintahan.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan gelaran Orang-Orang Besar Negeri Pahang kepada 16 individu sempena Istiadat Pengurniaan Gelaran-Gelaran dan Istiadat Menjunjung Duli Kerabat-Kerabat Bergelar serta Orang-Orang Besar Negeri Pahang Darul Makmur.
Kesultanan Pahang melalui satu kenyataan memaklumkan bahawa pada istiadat tersebut, tiga anakanda Baginda dikurniakan gelaran Kerabat Bergelar iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu‘adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut kenyataan itu, dua individu menerima kurniaan gelaran Orang Besar Berempat iaitu Orang Kaya Indera Segara Tengku Datuk Seri Zulkifly Tengku Temenggong Ahmad dan Orang Kaya Indera Perba Jelai, Datuk Wan Jasmin Wan Badiuzzaman.
“Turut dikurniakan gelaran Orang Besar Berlapan kepada Dato’ Setia Amar Segara Tengku Datuk Mohd Mustaffa Tengku Ibrahim dan Dato’ Setia Wangsa Datuk Md Rusli Ismail.
“Paduka Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan gelaran Orang Besar Raja kepada Tok Pentara Raja Ariffuddin Mohamud dan Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Abdul Murad,” menurut kenyataan itu.
Jelas Kesultanan Pahang lagi, istiadat pengurniaan gelaran seterusnya menyaksikan lima individu menerima kurniaan gelaran Orang Besar Enam Belas iaitu Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Indera Munir; Tok Muda Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman; Tok Muda Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad; Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman; dan Tok Muda Wan Nizamuddin Wan Ibrahim.
Katanya, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan gelaran Orang Besar Istana kepada dua individu iaitu Penghulu Balai Wan Samsul Effendi Wan Mahmud dan Panglima Dalam Ahmad Faisal Mohd Taib.