KUANTAN – “Jika ada pihak sudi menaja pembedahan mata, itu pun sudah memadai kerana saya hanya mahu melihat semula supaya boleh bekerja dan tidak membebankan orang lain.”
Demikian luahan Norhafaiza Taib, 48, yang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk kerosakan saraf mata tahap lima, kencing manis, darah tinggi, kemurungan serta kegagalan buah pinggang tahap empat sejak setahun lalu.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas menyertai satu aktiviti kebajikan di Sungai Kemaman, yang pada awalnya disangkanya hanya kesan mabuk laut biasa.
“Ketika itu, saya mengambil ubat mabuk dan tidur di dalam bot, namun apabila bangun pagi keesokan harinya, penglihatan saya terus gelap.
“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saraf mata saya telah rosak sebanyak 90 peratus. Walaupun peluang pulih melalui pembedahan hanya 50-50, saya terpaksa menangguhkan rawatan kerana kekurangan wang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Selain berdepan masalah penglihatan, Norhafaiza yang menetap di Batu Hitam turut bergelut dengan komplikasi buah pinggang bocor yang memerlukannya menjalani rawatan dialisis.
Namun, dia mengakui terpaksa menolak rawatan tersebut kerana tidak mampu menanggung kos pengangkutan dan ubat-ubatan sampingan.
“Pada awalnya saya menyangka ia kesan kencing manis, tetapi air kencing mula berdarah dan tubuh semakin lemah sehingga saya tidak mampu berjalan walaupun di dalam rumah,” ujarnya.
Lebih menyedihkan, wanita bertubuh kecil ini turut mengalami masalah saraf yang menyebabkan sebahagian anggota badannya tidak dapat digerakkan.
“Kadang-kadang tangan dan jari bengkak hingga saya tidak mampu menggenggam apa-apa.
“Kaki pula sembab sehingga sukar bergerak dan kesakitan yang berlarutan setiap hari menyebabkan saya mengalami gangguan tidur,” luahnya sebak.
Kini, kehidupan Norhafaiza bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350, selain baucar makanan bernilai RM200 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Menurutnya, keperluan ubat-ubatan dari farmasi luar mencecah hampir RM1,000 sebulan kerana tidak semua bekalan disediakan oleh pihak hospital.
“Kos ini sangat membebankan kerana saya tiada punca pendapatan, manakala suami pula menghidap sakit jantung dan hanya bekerja sebagai nelayan sambilan dengan pendapatan tidak menentu.
“Jika dia tidak sihat, kami kehilangan punca pendapatan. Anak-anak pula ada membantu, namun saya sedar mereka juga mempunyai komitmen sendiri,” jelasnya.
Norhafaiza yang pernah berkhidmat selama 13 tahun dalam kerja kebajikan menyantuni pesakit kronik sebelum ini amat mengharapkan sokongan masyarakat agar dia dapat kembali berdikari.
“Dahulu saya membantu orang, sekarang saya benar-benar faham betapa beratnya ujian ini. Namun, saya tetap reda dengan aturan ALLAH,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun RHB Bank bernombor 15605000041459 atas nama Norhafaiza Taib.