NILAI – Seramai 11 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih menjadi imam solat tarawih di Osaka, Jepun bermula 16 Februari hingga 25 Mac ini.
Program berkenaan merupakan inisiatif Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), universiti terbabit.
Pelaksanaannya pada tahun ini turut melibatkan seorang imam jemputan dari Brunei Darussalam yang akan berkhidmat bersama pelajar USIM sepanjang tempoh penugasan di negara itu.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, penglibatan pelajar universiti berkenaan mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kualiti pelajar serta pendekatan pendidikan Islam yang diterapkan di USIM.
“Saya melihat peluang ini sebagai satu ruang terbaik untuk pelajar USIM mempraktikkan ilmu yang dipelajari, selain membawa imej institusi yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pengajian.
“Pengalaman berkhidmat sebagai imam di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja menguji keupayaan ilmu dan kemahiran pelajar, malah membentuk keperibadian serta kefahaman mereka dalam konteks masyarakat yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre FPQS, Dr Norazman Alias menjelaskan bahawa kesemua pelajar terlibat telah melalui proses pemilihan yang rapi.
“Program ini merupakan inisiatif yang memberi penekanan kepada pemilihan calon berasaskan keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan untuk berkhidmat dalam persekitaran masyarakat minoriti Muslim.
“Seramai 30 calon daripada beberapa fakulti telah menjalani sesi temu duga sebelum 11 pelajar dipilih,” jelasnya.
Tambah beliau, sebagai persediaan awal, para pelajar akan mengikuti kursus persediaan intensif bermula 3 Februari hingga 11 Februari 2026, merangkumi latihan asas Bahasa Jepun serta pemantapan bacaan dan penghayatan al-Quran di bawah bimbingan pensyarah USIM.
Dalam pada itu, salah seorang peserta yang akan menjalani latihan industri di Japan Dakwah Centre, Abdul Halim Mohd Nor, 25, menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu pengalaman berharga untuk menimba ilmu.
Pelajar tahun empat Program Qiraat itu turut teruja untuk merasai suasana baharu, khususnya menjalani ibadah puasa di negara minoriti Muslim.
Ujarnya, pelantikan sebagai imam tarawih bukanlah pengalaman pertamanya kerana pernah dipilih menjadi imam tarawih di Surau An-Nur, Semenyih, Selangor ketika tahun pertama dan kedua pengajian.
“Pengalaman awal itu banyak membentuk keyakinan diri dan kefahaman saya tentang tanggungjawab seorang imam, bukan sekadar bacaan, tetapi juga akhlak dan contoh teladan,” katanya.
Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan apabila para pelajar menerima tajaan penuh tiket penerbangan hasil sumbangan seorang tokoh korporat sebagai tanda sokongan terhadap usaha dakwah dan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.