MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima hampir 20 laporan kebakaran lalang, belukar dan hutan di negeri ini dalam tempoh 12 jam hingga jam 6 petang pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, antara lokasi terlibat di kawasan luar bandar dan kampung termasuk Kampung Janda Berhias, Kampung Langkap, Kampung Tanah Merah Baru dan Kampung Solok Mak Yah.
Menurutnya kebakaran turut dilaporkan di beberapa kawasan perumahan dan taman seperti Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Indah, Taman Bachang Baru serta kawasan perumahan Residence Prima dan A’Famosa.
“Kesemua kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Kebanyakan kebakaran berskala kecil berjaya dipadam dalam tempoh kurang 30 minit, namun terdapat juga kebakaran berskala besar yang memerlukan operasi berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, bagi kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 15 ekar, operasi pemadaman mengambil masa lebih enam jam termasuk pemantauan rapi, pemadaman menyeluruh serta kawalan titik panas (hotspot).
Beliau berkata, kebakaran terbuka dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal selain dipengaruhi cuaca panas dan kering serta aktiviti manusia.
JBPM Melaka menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika cuaca panas dan kering, bagi mengelakkan kebakaran merebak serta membahayakan keselamatan awam.