MOSCOW - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dan isterinya, bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton telah bersetuju untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan AS berhubung siasatan ke atas pembiaya AS dan pesalah seks, Jeffrey Epstein, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Jurucakap keluarga Clinton, Angel Urena berkata, persetujuan itu dicapai selepas rundingan dilakukan dengan jawatankuasa berkenaan.
"Mereka (pasangan Clinton) berunding dengan niat yang baik. Anda (jawatankuasa) tidak. Mereka memberitahu anda dengan bersumpah apa yang mereka tahu, tetapi anda tidak peduli. Namun, bekas Presiden dan bekas Setiausaha Negara akan hadir. Mereka berharap dapat menetapkan satu duluan yang terpakai kepada semua orang," kata Urena menerusi hantaran di laman X pada Isnin.
Pada 5 Ogos lepas, sepina telah dihantar kepada Bill dan Hillary Clinton, serta lapan bekas peguam negara dan pengarah FBI, untuk memberi keterangan dalam siasatan semula kes Epstein.
Sebelum ini, pasangan Clinton enggan memberi keterangan dengan alasan bahawa sepina itu tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.
Pada pertengahan Januari, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan AS, James Comer berkata, jawatankuasa itu merancang untuk mendakwa pasangan Clinton atas tuduhan menghina Kongres kerana mengingkari sepina itu.
Akhir Januari lepas, jawatankuasa itu mengundi untuk mensabitkan mereka dengan tuduhan menghina Kongres.
Pada 30 Januari, Timbalan Peguam Negara AS, Todd Blanche mengumumkan bahawa semua bahan berkaitan kes Epstein telah didedahkan.
Melalui pendedahan terbaru itu, jumlah keseluruhan data yang dikeluarkan melebihi 3.5 juta fail dan merangkumi sebutan mengenai ramai tokoh berpengaruh.
Pada 2019, Epstein didakwa di AS atas tuduhan pemerdagangan seks kanak-kanak bawah umur dan konspirasi untuk melakukan jenayah itu.
Pendakwa raya berkata, beliau melakukan gangguan seksual terhadap berpuluh-puluh gadis bawah umur antara 2002 dan 2005.
Beliau ditemukan mati di dalam sel penjaranya beberapa minggu selepas jaminan ditolak oleh mahkamah Manhattan pada Julai 2019. Bernama-Sputnik/RIA Novosti