NASA bakal hantar manusia ke bulan

Iklan
Kapal angkasa Orion milik NASA, yang ditempatkan di atas roket Space Launch System (SLS) untuk pelancaran, kelihatan di Pusat Angkasa Kennedy, Florida, pada 17 Januari. Foto Agensi

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dijangka menghantar manusia mengelilingi bulan menerusi misi Artemis II seawal 6 Februari, meskipun kapal angkasa Orion yang akan membawa empat angkasawan itu diketahui mempunyai kelemahan teknikal yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebahagian pakar keselamatan angkasa lepas.

Keempat-empat angkasawan akan menaiki kapsul Orion berdiameter 16.5 kaki dengan kesedaran bahawa kapal tersebut mempunyai kecacatan yang telah dikenal pasti, khususnya melibatkan perisai haba (heat shield) — komponen kritikal yang melindungi kru daripada suhu ekstrem ketika kemasukan semula ke atmosfera Bumi.

Iklan
Iklan

Walaupun terdapat kebimbangan, NASA menegaskan agensi itu yakin masalah berkenaan telah difahami dan misi boleh dilaksanakan dengan selamat.

Isu tersebut berkait rapat dengan lapisan perlindungan di bahagian bawah kapsul Orion, yang hampir serupa dengan perisai haba digunakan dalam misi tanpa kru Artemis I pada 2022.

Iklan

Dalam misi itu, perisai haba didapati mengalami kerosakan tidak dijangka apabila kapsul kembali ke Bumi, sekali gus mendorong NASA menjalankan siasatan terperinci.- Agensi

Walaupun NASA bersedia meluluskan perisai haba itu untuk penerbangan berawak (misi angkasa lepas yang membawa manusia (angkasawan) di dalamnya) beberapa pakar mengakui masih wujud risiko yang tidak dapat dipastikan sepenuhnya.

Iklan

Bekas angkasawan NASA, Dr. Danny Olivas, yang terlibat dalam pasukan semakan bebas, menyifatkan perisai haba Orion sebagai “menyimpang daripada reka bentuk ideal”, namun percaya NASA kini memahami punca masalah tersebut.

Menurut NASA, hasil siasatan mendapati keselamatan kru boleh dipastikan dengan mengubah laluan kemasukan semula kapsul tanpa perlu menggantikan perisai haba sedia ada.

Agensi itu menegaskan setiap pilihan membawa ketidakpastian tersendiri, termasuk sekiranya reka bentuk atau proses pembuatan diubah pada peringkat akhir.

Keyakinan NASA turut dikongsi oleh Komander Artemis II, Reid Wiseman, yang menyatakan punca utama masalah telah dikenal pasti dan perisai haba berkenaan selamat digunakan sekiranya laluan kemasukan baharu dipatuhi.

Namun, pandangan itu tidak dikongsi semua pihak. Bekas angkasawan dan pakar perisai haba, Dr Charlie Camarda, menyifatkan keputusan meneruskan misi berawak sebagai berisiko tinggi dan mendakwa NASA seolah-olah menangguhkan penyelesaian sebenar masalah tersebut.

Beliau, bersama beberapa bekas kakitangan NASA, berpendapat agensi itu tidak seharusnya menghantar angkasawan selagi isu perisai haba tidak diselesaikan sepenuhnya.

NASA menjelaskan bahawa perubahan reka bentuk dilakukan bagi memudahkan proses pembuatan dan pemasangan. Bagaimanapun, ujian sebenar perisai haba versi baharu hanya berlaku dalam Artemis I, yang mendedahkan kegagalan bahan tersebut untuk terhakis secara terkawal seperti direka.

Walaupun berbeza pandangan mengenai pelaksanaan misi, para pakar bersetuju bahawa sejarah NASA membuktikan kejayaan masa lalu tidak seharusnya menghapuskan keperluan untuk penilaian kritikal berterusan, terutama apabila nyawa manusia menjadi taruhan.-Agensi