JERANTUT - Seorang bapa mengakui terpaksa membalut usus anak bongsunya dengan karung plastik biasa kerana tidak mampu menyediakan beg stoma bagi kanak-kanak itu.
Keadaan itu juga menyebabkan Mohd Adam Mat Noh, 7, yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir, terpaksa melupakan hasrat memulakan persekolahan tahun ini.
Bapanya, Mat Noh Mohamed, 57, berkata, masalah kesihatan anaknya dikesan sejak lahir apabila organ dalaman didapati pendek dan tersumbat, menyebabkan Mohd Adam gagal membuang air besar secara normal.
Menurutnya, Mohd Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada 2022 sehingga sebahagian ususnya terpaksa dikeluarkan.
“Sejak itu, anak saya sepatutnya menggunakan beg stoma, tetapi sejak setahun lalu saya tidak mampu membelinya dan terpaksa membalut ususnya dengan plastik.
"Keadaan ini sangat berbahaya dan menyukarkan pergerakannya, jadi sebab saya tangguh dahulu anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mat Noh yang menetap di Felda Gelanggi Empat berkata, anaknya masih memerlukan rawatan susulan untuk memasukkan semula usus yang terkeluar.
Bagaimanapun, ujarnya, kos rawatan yang tinggi menyebabkan dia tidak mampu menampung perbelanjaan tersebut sekali gus menambah beban keluarga.
Mat Noh juga kini tidak berupaya bekerja selepas kemalangan motosikal tahun lalu yang mengakibatkan kecederaan saraf tulang belakang dan tulang paha kanan yang memendek.
“Saya kini berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu lagi menyara keluarga atau membiayai kos rawatan anak.
"Kekangan kewangan ini bukan sahaja menjejaskan Adam, malah anak sulung saya, Mohd Razak, 11, turut kerap tidak ke sekolah,” katanya yang sudah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun, nasib Mohd Adam kemudian mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Jerantut menziarahi keluarganya bagi meringankan beban mereka.
Pengerusinya, Norsarfinaz Mohd Azman berkata, Mohd Adam sepatutnya sudah memulakan persekolahan, tetapi keadaan fizikalnya yang lemah mendatangkan risiko pendarahan.
“Saya dimaklumkan Mohd Adam beberapa kali dipanggil untuk rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh termasuk pada 29 Januari lalu, tetapi gagal hadir kerana kekangan kewangan dan keadaan bapanya yang uzur.
"Jadi, kami akan membantu Mohd Adam mendapatkan rawatan supaya dia boleh hadir ke sekolah, selain memastikan dua beradik itu menerima bantuan JKM,” katanya.
Ziarah tersebut turut dihadiri Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Muhammad Syafiq Kunyahamu bagi menilai keadaan kesihatan Mohd Adam sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut.
Beliau memaklumkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menghulurkan bantuan segera bagi membolehkan Mohd Adam mendapatkan rawatan pada tarikh baharu yang akan ditetapkan hospital.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Mohd Adam boleh menghubungi Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di talian 013-9074157 (Zila Ismail).